AM

Ekspo 2020 Dubai: Peluang tonjol teknologi dan inovasi Malaysia - Dr Adham

15/10/2021 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai dilihat dapat memberi peluang kepada negara menonjolkan kepakaran teknologi dan keupayaan inovasi di pentas antarabangsa, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata perkara itu seterusnya mengukuhkan jaringan perhubungan yang luas bagi menarik kunjungan pemegang taruh antarabangsa berprofil tinggi terutamanya dalam kalangan peneraju bidang sains dan teknologi, ahli perniagaan, pelabur dan tokoh korporat antarabangsa ke Pavilion Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) optimis sasaran penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai menjana nilai perniagaan dan pulangan pelaburan sebanyak RM8 bilion sehingga RM10 bilion dapat dicapai.

"Penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai merupakan antara usaha untuk memacu dan memulihkan semula ekonomi negara pasca pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata Malaysia menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara, dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

Ismail Sabri memaklumkan perkara itu merupakan pencapaian yang amat positif terutama ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca COVID-19.

Justeru, Adham merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas ucapan tahniah dan sokongan terhadap kejayaan MOSTI itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan