POLITIK

KETUA PEMUDA, PUTERA DAN PUTERI MIC MENANG TANPA BERTANDING, PERSAINGAN BAGI KETUA WANITA

22/10/2021 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh K.Raven Kumar dipilih menjadi Ketua Pemuda MIC baharu bagi penggal 2021-2024 selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada penamaan sayap peringkat kebangsaan dan negeri parti itu hari ini.

Keputusan itu diumumkan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran selepas proses pencalonan selama tiga jam di ibu pejabat parti itu di sini, ditutup pada 1 tengah hari.

Raven Kumar, 38, sebelum ini merupakan Ketua Putera dari 2015 hingga 2018 menggantikan R.Thinalan yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda. 

Sementara itu, jawatan Ketua Wanita pula bakal menyaksikan pertembungan antara penyandangnya J. Usha Nandhini dengan bekas Ketua Wanita 2013 hingga 2018 Datuk Mohana Muniandy.

Usha Nandhini, 49, pernah menjawat jawatan Ketua Puteri dari 2003 hingga 2013 sebelum menjadi Ketua Wanita setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada 2018.

Mohana, 45, tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada 2018, namun membuat kemunculan semula pada pencalonan hari ini.

Vigneswaran turut mengumumkan A.Kishva, 30, menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera bagi menggantikan penyandangnya S.Padmarajah yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Selain itu, R.Puvaneswary, 34, diumumkan sebagai Ketua Puteri parti selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan CM Hemalatha yang juga tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Pemilihan peringkat sayap parti itu dijadualkan pada 30 Okt ini.

Penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti termasuk ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC akan berlangsung pada 19 Nov manakala pemilihan pada 26 Nov.

Raven Kumar ketika ditemui pemberita berjanji akan meningkatkan taraf hidup pemuda India di negara ini khususnya melalui bidang pendidikan, sukan dan kebudayaan.

“Kami juga akan fokus dan bantu usaha kerajaan dalam pelaksanaan Undi 18,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan