BUKIT MERTAJAM, 25 Okt -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan notis menghentikan pelepasan buangan minyak dan kompaun RM30,000 terhadap sebuah premis penyelenggeraan kenderaan komersial dan lori kerana menyebabkan pencemaran buangan minyak di Sungai Kubang Semang, Jalan Permatang Nibong, di sini, semalam.
Pengarah JAS Pulau Pinang Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata syarikat yang mengendalikan premis itu juga telah diarahkan menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak yang telah memasuki Sungai Kubang Semang dengan segera, bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius.
Menurutnya pemeriksaan ke atas premis itu mendapati pihak premis gagal menyelenggara perangkap minyak (oil trap) dan pemintas minyak (oil interceptor) dengan baik sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran minyak daripada premis berkenaan ke dalam perairan daratan.
"JAS Pulau Pinang juga mengeluarkan Notis Arahan untuk menjalankan pembersihan di kawasan yang telah tercemar dan menanggung sepenuhnya kos terlibat. Premis juga diarahkan menjalankan kajian tanah tercemar dan menanggung sepenuhnya kos kajian serta pembersihan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sharifah Zakiah berkata premis itu yang menjalankan perniagaan kontrak pengangkutan komersial dan lori bersama dengan beberapa syarikat petrokimia utama di Malaysia, turut didapati gagal menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Katanya premis itu juga gagal menyediakan Orang Yang Berwibawa (competent person) bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Pemeriksaan lanjut mendapati parit monsun di dalam kawasan premis turut dicemari oleh buangan minyak yang berpunca daripada pemintas minyak, kawasan penstoran buangan terjadual, dan ruang pembasuhan kenderaan berat. Tumpahan minyak juga dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel di dalam kawasan premis," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial