ALOR GAJAH, 17 Nov -- Jabatan Penerangan (Japen) Melaka mempergiatkan program hebahan bergerak ‘Info On Wheels’ (IOW) di serata negeri itu bagi mengajak pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, pada Pilihan Raya Negeri (DUN) Melaka pada Sabtu ini.
Pengarahnya Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata program itu menjelajah 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan menggerakkan sembilan unit kenderaan hebahan di setiap kawasan sama ada di pekan, luar bandar, ceruk kampung dan tidak ketinggalan perkampungan Orang Asli.
“Hebahan ini telah bermula sejak Hari Penamaan Calon pada 8 Nov menerusi 25 program yang membabitkan 102 lokasi dan Japen melaksanakan hebahan ini dengan lebih kerap, pada tiga hari sebelum hari pengundian.
“Hebahan ini juga dibuat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil, juga tidak ketinggalan dalam loghat Melaka bagi menyampaikan mesej dengan berkesan,” katanya ketika membuat hebahan IOW di Pekan Durian Tunggal, di sini pada hari ini.
Shahrom berkata hebahan bermula jam 9 pagi hingga 6.30 petang setiap hari bermula pada Rabu sehingga Jumaat, dan hari Sabtu sehingga 4.00 petang, selain mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan awal butiran daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi memudahkan proses mengundi pada hari tersebut.
Katanya kempen keluar mengundi juga dilaksanakan bersama SPR dengan maklumat peratusan keluar mengundi akan sentiasa dikemas kini pada hari pengundian oleh pihak terbabit dan dikongsikan kepada kepada Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), yang diselaraskan Japen.
“Maklumat ini juga akan disiarkan dalam pelbagai saluran media termasuklah media sosial dan dipanjangkan kepada semua kumpulan rakan strategik melalui aplikasi whatsapp, supaya maklumat tersebut dapat dihebahkan dengan segera untuk menggalakkan masyarakat keluar mengundi.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial