AM

Taraf universiti penuh, UTS satu pencapaian besar untuk Sarawak

23/11/2021 10:47 PM

Oleh Hasnah Jusid

SIBU, 23 Nov  -- Penaiktarafan Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) kepada universiti penuh dengan namanya kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Sarawak (UTS) adalah satu pencapaian amat besar kepada Bumi Kenyalang, kata Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.

Beliau berkata UTS, yang terletak di bandar ini, adalah satu-satunya universiti dengan 100 peratus ditubuhkan hasil ‘titik peluh’ Kerajaan Negeri Sarawak.

“Penaiktarafan ini apabila kita penuhi kriteria dari segi prasarana, kualiti program pendidikan, kerja penyelidikan, sumbangan penuntut dan pensyarah terhadap dunia keilmuan, kekuatan tenaga kerja dan kekuatan kewangan yang disumbang sepenuhnya Kerajaan Negeri Sarawak.

“Bila dinaik taraf, ia melambangkan satu kejayaan amat besar dari segi fizikal, moral dan dari segi identiti bahawa inilah universiti penuh pertama dapat ditubuhkan Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya kepada Bernama.

Universiti itu ditubuhkan sebagai UCTS pada 1 April 2013 dan dianugerahkan status universiti penuh pada 8 Nov lepas oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sebelum ditukar nama kepada UTS. Majlis pelancaran UTS disempurnakan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 10 Nov. 

Khairuddin turut menzahirkan harapan tinggi pihaknya dapat meningkatkan enrolmen penuntut, mutu tenaga pengajar dan memberikan pendidikan terbaik khususnya kepada rakyat negeri Sarawak dan semua penuntut dengan bantuan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata harapan itu bersandarkan kadar kebolehpasaran graduan UTS, yang juga antara tertinggi di Malaysia dengan mencapai 99.1 peratus, dengan hampir kesemua mereka mendapat kerja berkaitan industri di Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (Sarawak Corridor of Renewable Energy or SCORE).

“Ini menunjukkan hasrat dan harapan Kerajaan Negeri Sarawak agar UTS dapat membantu mengeluarkan tenaga kerja ramai yang diperlukan dalam SCORE. Kita tidak lupa peranan UTS menyokong pembangunan SCORE secara khususnya dan Kerajaan Sarawak amnya,” katanya.

Ditanya ramuan kepada  kadar kebolehpasaran graduan tinggi itu, Khairuddin berkata antara lainnya pendekatan UTS sering berbincang dengan industri swasta berhubung keperluan program memenuhi kehendak pasaran, selain pensijilan profesional dan pensijilan industri turut diberikan kepada penuntut yang tamat pengajian. 

“Maknanya, apabila penuntut tamat pengajian mereka akan dapat segulung ijazah dan dapat sijil profesional yang diiktiraf industri, bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia selain faktor penggunaan meluas bahasa Inggeris dalam pengajian. Ini membuatkan mereka ini lebih marketable,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan pengambilan 4,000 penuntut dalam tempoh dua tahun, memandangkan ketika ini hanya terdapat kira-kira 1,000 lebih penuntut sedang mengikut pengajian.

“Walaupun UTS 100 peratus universiti milik Kerajaan Sarawak, kita mahu ada campuran mahasiswa dari luar negeri Sarawak serta luar negara supaya pembudayaan dan pengantarabangsaan itu ada,” katanya. 

Sejak dirasmikan sebagai universiti baru-baru ini, beliau berkata UTS tidak putus-putus dihujani pertanyaan pelbagai pihak melalui panggilan telefon dan e-mel, malah ada juga yang datang terus ke universiti itu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kaedah kemasukan ke UTS. 

Jelasnya, situasi itu adalah satu petanda baik daripada orang ramai khususnya masyarakat setempat yang begitu teruja apabila mengetahui universiti itu mendapat status berkenaan. 

“Mereka bangga ada satu universiti taraf universiti penuh, mereka teruja bertanya apa program ada, kaedah pendaftaran, syarat, malah beberapa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut membuat promosi melalui media sosial masing-masing.

“Dari segi imej dan makna itu amat besar sebab dari segi persepsi masyarakat setempat, mereka begitu prihatin tentang status universiti. Masyarakat nak betul-betul nama universiti, ia akan memberi keyakinan kepada masyarakat, ibu bapa dan penuntut,” katanya. 

Sebelum ini, Abang Johari turut mengumumkan tiga insentif kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke UTS iaitu Biasiswa Asasi UTS, Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS dan Skim Bursari UTS sebagai inisiatif menjadikan pendidikan mampu milik dan dapat diakses rakyat Sarawak berpendapatan rendah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan