KUALA LUMPUR, 27 Nov -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuat laporan meminta polis menyiasat sama ada terdapat sebarang tindakan menyembunyikan bukti material berhubung transaksi wang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International yang dihadapinya.
Beliau mendakwa beberapa pihak termasuk individu penting ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan terlibat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan yang menyeluruh berhubung perkara itu.
"Kebanyakan rakyat Malaysia terkejut dengan pengesahan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) minggu lepas bahawa baki RM65 juta daripada dana yang dilapor mempunyai kaitan dengan Jho Low dan 1MDB di dalam akaun bank dikaitkan dengan ahli keluarga terdekat bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) telah dikembalikan kepada Malaysia oleh pihak berkuasa Singapura,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini.
Najib juga mendakwa pendedahan Tan Sri Tommy Thomas dua hari lepas bahawa bekas Peguam Negara itu sedar akan transaksi tersebut ketika beliau memegang jawatan serta jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen pada Isnin lepas bahawa polis sudah mengetahui perkara itu sekurang-kurangnya sejak 2019 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan telah menyebabkan beliau kecewa.
Katanya maklumat sedemikian adalah penting untuk pembelaannya di mahkamah dalam kes membabitkan SRC dan 1MDB.
"Saya juga dimaklumkan bahawa seorang lagi saksi utama pendakwaan dalam kes SRC saya juga telah menerima lebih RM85 juta dana yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB dan sekali lagi saya dan pasukan peguam saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini meskipun individu terbabit memainkan peranan penting dalam kes SRC,” katanya.
Najib telah disabitkan dengan kesalahan dalam kes SRC namun mengemukakan rayuan semasa kes 1MDB sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah Rayuan telah menetapkan 8 Dis untuk memutuskan kes SRC.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan berkata siasatan akan dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial