BUTTERWORTH, 30 Nov -- Beberapa pekebun di sini mendakwa ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan menaikkan harga sayur sehingga harganya melambung tinggi ketika ini, sedangkan pekebun menjualnya pada harga biasa sahaja kepada pemborong atau orang tengah.
Pekebun sawi Maharam Mohd Tahir, 58, berkata meskipun harga sayur seperti sawi, kubis bunga, kangkung, cili merah dan cili hijau meningkat melebihi 50 peratus, pihaknya masih menjual pada harga yang rendah kepada pemborong.
"Bayangkan kami jual sawi pada harga RM1.30 sekilogram, tapi harga di pasaran boleh cecah RM6 hingga RM7. Jadi persoalannya, harga yang melambung itu siapa yang kawal?” katanya ketika ditemui Bernama di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini, hari ini.
Beliau yang mengusahakan ladang sawi dan jagung seluas enam hektar bersama rakannya Asmida Mohamad berkata, kenaikan harga sayur secara mendadak itu sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada pihak pekebun kerana segala kos pengeluaran seperti baja, racun dan gaji pekerja tetap ditanggung oleh mereka.
Sementara itu Teow Chun Tong, 47, berkata sebagai pekebun yang mengusahakan sayur sawi bunga, kangkung dan bayam merah sejak 10 tahun lepas, beliau juga berhadapan kerugian seperti tanaman tidak menjadi disebabkan faktor cuaca.
“Kita tidak mampu kawal situasi itu, apabila hujan berterusan sudah tentu ia menjejaskan tanaman yang disemai, ditambah lagi dengan kos baja, jadi memang ada sedikit kenaikan harga sayur tapi tidaklah keterlaluan seperti di pasaran sekarang," katanya.
Beliau berkata setiap pihak termasuk pemborong, harus memainkan peranan dalam mengawal harga sayur di pasaran lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan.
“Sebenarnya golongan pekebun yang lebih terkesan dari segi pelbagai kos yang perlu ditanggung, tetapi kami masih menawarkan harga berpatutan kepada mereka (pemborong). Berpada-padalah," katanya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam satu kenyataan baru-baru ini, menggesa pihak berkuasa melakukan pemantauan berikutan terdapat aduan pengguna mengenai kenaikan harga sayur secara mendadak di pasaran.
Antara sayur yang dikatakan mengalami kenaikan harga ialah kubis bunga daripada RM7 kepada RM16 sekilogram; sawi pendek RM3 kepada RM9; brokoli RM8 kepada RM20; sawi RM5 kepada RM8; kacang buncis RM8 kepada RM15; kubis RM4 kepada RM6; cili merah RM13 kepada RM19; dan cili hijau RM10 kepada RM14.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial