AM

Kuih ubi 'getuk' laris di Kelantan ketika musim tengkujuh

07/12/2021 07:32 PM

KOTA BHARU, 7 Dis -- Setiap kali tiba musim tengkujuh, kuih ubi  'getuk' merupakan antara makanan tradisi masyarakat Melayu di Kelantan yang sentiasa menjadi buruan penggemarnya untuk dijadikan sajian sarapan atau minum petang.

Kuih ubi getuk diperbuat daripada bahan utama ubi kayu yang direbus dan tumbuk, kemudian digaul dengan kelapa parut, gula dan sedikit garam serta dibentuk menjadi bulat sebelum dicelup ke dalam adunan tepung beras serta digoreng rangup.

Peniaga ubi kayu getuk, Rakiah Mamat, 50, atau mesra disapa “kak Yah’  berkata beliau mula menjual kuih ubi getuk itu dua tahun lalu setelah terlihat lebihan ubi kayu mentah yang belum diproses ketika berada di rumah kakaknya di sini.

"Saya terfikir daripada membazir, lebih baik saya membuat 'sesuatu' dengan ubi kayu ini dengan merebusnya sambil mencari idea baharu kerana pada ketika itu saya juga ada bahan-bahan lain seperti kelapa muda yang telah siap diparut dan tepung beras,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Katanya, perkataan 'getuk' pada kuih itu adalah kerana selepas ubi kayu ini direbus, beliau akan mengetuk ubi kayu menggunakan lesung batu sebelum digaul dengan bahan-bahan lain.

Bercerita lanjut, Rakiah berkata untuk menghasilkan ubi kayu getuk yang cantik, seelok-eloknya gunakanlah ubi kayu yang berisi kuning namun jika tiada ubi jenis itu, ubi kayu isi putih juga boleh dibuat kuih itu.

"Untuk merebus ubi kayu ini pun ada kaedahnya. Tidak boleh angkat terlalu awal dan tidak boleh terlebih masak nanti ia akan menjadi terlalu lembik kerana sebaik sahaja siap direbus, ubi kayu itu hendaklah diketuk dan proses ini agak rumit.

"Saya pernah membeli mesin pengisar dan cuba kaedah moden, namun pelanggan tidak menggemarinya kerana hasilnya terlalu halus, jadi sehingga kini saya masih kekal gunakan kaedah ketuk ubi kayu ini untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap," katanya yang menjual kuih ubi getuk pada harga RM1 untuk empat biji.

Katanya, rutin harianya bermula seawal pukul 8 pagi untuk berniaga ubi getuk di gerainya di Kampung Jambu Merah, Melor dekat sini dengan menyiapkan bahan-bahan kuih ubi getuk sebelum mula mengoreng bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang.

"Kini saya hadkan menjual sekitar 100 biji sehari kerana bekalan ubi kayu tidak mencukupi," katanya sambil menambah kuih ini sememangnya mempunyai penggemarnya tersendiri kerana ada yang sanggup datang dari jauh seperti di Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu.

"Ada pelanggan yang membeli sedulang kuih dalam anggaran harga RM8 hingga RM10, malah pelanggan saya itu sanggup membelinya setiap hari kerana pada musim tengkujuh sekarang ini, kuih ini enak dimakan 'panas-panas' dalam suasana cuaca mendung, hujan dan sejuk kini," katanya sambil tersenyum manis mengimbau ragam pelanggan-pelangganya itu.

Ibu kepada empat cahaya mata ini juga berkata nasibnya cukup baik kerana masih ada pembekal yang sanggup mendapatkan bekalan ubi kayu kuning setiap hari untuknya supaya beliau dapat meneruskan perniagaan ubi getuk itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan