AM

Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun

13/12/2021 09:43 PM

IPOH, 13 Dis -- Tasik Cermin di sini yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya, ditutup bermula hari ini gara-gara tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata kawasan tersebut ditutup sehingga siasatan kes itu selesai dijalankan dan pembukaan semula untuk kunjungan pelancong akan diumumkan kepada orang ramai.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya identiti pelaku masih dalam siasatan dan tindakan akan dikenakan mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang bersesuaian.

Kawasan Tasik Cermin berada di bawah pengurusan Geopark Kinta dan orang ramai tidak dibenarkan mandi-manda di kawasan tasik berkenaan.

Baru-baru ini, video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan tular di aplikasi TikTok.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan lelaki itu kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan kawasan rekreasi itu ditutup kepada pengunjung.

Sebelum ini, Tasik Cermin pernah ditutup kepada pengunjung pada Mac tahun lalu atas faktor keselamatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan