BANGI, 15 Dis -- Wakaf Masjid Hijau yang merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menyokong program Rumah Ibadat Hijau (RIH) telah mengumpulkan sumbangan dana awam sebanyak RM35,050 sejak prapelancarannya pada 18 Okt tahun lepas.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Wakaf Masjid Hijau, yang diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia, mengumpul sumbangan daripada individu, sektor kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk disalurkan kepada masjid.
“Wakaf ini akan memberi manfaat kepada lebih 6,000 masjid dan 18,000 surau di negara ini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya Datuk Mansor Othman pada pelancaran Wakaf Masjid Hijau dan Sistem Solar Fotovoltan (PV) di Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), di sini hari ini.
MGTC yang ditubuhkan pada 1995 merupakan agensi kerajaan yang diberi mandat untuk memimpin negara dalam bidang pertumbuhan hijau, mitigasi perubahan iklim dan membudaya gaya hidup hijau.
Tuan Ibrahim berkata program RIH, yang merupakan kerjasama antara KASA dan MGTC, diwujudkan untuk menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pemangkin kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat setempat.
Empat elemen utama program RIH adalah penjimatan elektrik, penjimatan air, pengurusan sisa buangan secara sistematik dan penggunaan produk hijau.
Menurutnya, Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi telah melakar beberapa kejayaan melalui projek rintis program RIH iaitu mewujudkan sistem pemantauan tenaga dan sistem solar fasa pertama, sistem telaga tiub, pusat pengumpulan bahan buangan dan kebun bandar (UrbanKit).
Pada majlis sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd Datuk Adissadikin Ali menyerahkan sumbangan sebanyak RM75,000 bagi tujuan pemasangan Sistem Solar PV di Masjid Al-Hasanah.
Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata sebanyak 12 masjid di lapan negeri antaranya Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Terengganu telah dipilih sebagai Rumah Ibadat Angkat MGTC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial