DUNIA

Arab Saudi: Pelawat dari 6 negara wajib kemuka sijil vaksin COVID-19 

18/12/2021 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis -- Pelawat dari enam negara termasuk Indonesia diwajibkan untuk mengemukakan sijil vaksinasi COVID-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi sebelum mengunjungi negara itu termasuk bagi tujuan umrah.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu perkongsian infografik di laman Twitter rasminya memaklumkan negara lain yang turut diwajibkan mememuhi syarat dan protokol terbaharu itu adalah India, Pakistan, Mesir, Vietnam dan Brazil.

Pelawat dari negara-negara ini dan telah melengkapkan dos vaksin jenis Pfizer, Astrazeneca, Moderna atau Johnson & Johnson, dibenar memasuki Arab Saudi tanpa perlu menjalani kuarantin wajib. 

Bagi pengunjung yang menerima vaksin Sinopharm, Sinovac atau Covaxin dan memiliki sijil vaksinasi diiktiraf, mereka perlu menjalani kuarantin wajib tiga hari di pusat kuarantin ditetapkan.

Menurut kementerian itu, 'sijil vaksinasi diiktiraf' bermaksud diakui sah oleh Kementerian Kesihatan (MoH) Arab Saudi dan diluluskan secara elektronik melalui kod QR.

“Mereka juga perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) selepas 48 jam dari tarikh mula kuarantin,” menurut kementerian. 

Pelawat yang memiliki sijil vaksinasi belum diiktiraf, wajib menjalani kuarantin di institusi ditetapkan selama lima hari dan mengemukakan keputusan negatif ujian PCR pada hari pertama dan kelima kuarantin.

Sementara bagi jemaah asing dari negara lain, termasuk Malaysia, tiada sijil vaksinasi diperlukan dan mereka dibenarkan memasuki Arab Saudi tanpa menjalani proses kuarantin sekiranya telah melengkapkan dos vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca, Moderna, atau Johnson & Johnson.

Namun, jemaah yang lengkap dos vaksin sama ada Sinopharm, Sinovac atau Covaxin, mereka perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu selama tiga hari di pusat kuarantin ditetapkan selain perlu mengemukakan keputusan ujian calitan dalam tempoh 48 jam dari tarikh dikuarantin.

Arab Saudi mula membuka pintunya kepada pengembara luar bermula1 Ogos 2021 dan menerima jemaah umrah antarabangsa secara berperingkat bermula 9 Ogos dengan syarat dan protokol tertentu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan