KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersiap siaga untuk diaturgerakkan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata selain itu, KBS juga bersedia menjadikan fasilitinya sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) seperti Kompleks Belia dan Sukan negeri-negeri, 22 institusi latihan KBS serta Pusat Belia Antarabangsa.
"Kita menyediakan tenaga sukarelawan belia dikenali sebagai Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Eight For Aid dan Kelab KBS sendiri.
"Insya-Allah kita gerakkan seluruh pasukan di seluruh negara sudah tentunya boleh dapatkan lebih besar jumlah (sukarelawan). Saya tidak pasti jumlah yang dapat kita kumpul tetapi sudah semestinya kita boleh dapatkan lebih daripada 10,000 orang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS di sini hari ini.
Negara kini dilanda musibah banjir teruk melibatkan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Tahun lepas KBS menggerakkan hampir 10,000 sukarelawan untuk bantuan banjir dan kerja pembersihan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial