EKONOMI

Berjaya Air beli helikopter Airbus tercanggih di dunia

24/12/2021 01:56 AM

KUALA LUMPUR, 23 Dis  -- Berjaya Air Sdn Bhd, sebuah subsidiari Berjaya Land Bhd (BLand) telah membeli helikopter ACH160 dan H175 daripada Airbus Helicopters.

Pengerusi dan Pengasas Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan berkata kerjasama dengan Airbus menandakan komitmen Berjaya Group untuk mencapai kecemerlangan bagi pelanggannya. 

"Helikopter serba canggih ini  akan menggubah senario dan mewujudkan segmen perniagaan baharu dalam industri penerbangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

ACH160 adalah versi mewah helikopter H160 terkini yang diperakui oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA). ACH160 menetapkan penanda aras baharu dalam pengangkutan korporat sebagai helikopter yang paling maju daripada segi teknologi dalam kelasnya.

Berjaya Air akan menjadi pelanggan pelancaran Malaysia untuk ACH160. Dalam dunia penerbangan, pelanggan pelancaran adalah syarikat penerbangan yang menerima penghantaran pertama jenis pesawat baharu.

Perjanjian pembelian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif BLand, Syed Ali Shahul Hameed dan Ketua Jualan Airbus Helicopters Malaysia, Laurent Cabrol. 

Airbus H175 tergolong dalam kelas helikopter sederhana besar, menggabungkan keupayaan jarak jauh dengan kualiti penerbangan yang lancar. 

Ia direka untuk memenuhi cabaran keperluan industri minyak dan gas, operasi mencari serta menyelamat, perubatan kecemasan termasuk perkhidmatan awam, ia menawarkan tahap keselesaan terkini dengan kabin terbesar di kelasnya serta tahap getaran dan bunyi dalam penerbangan yang rendah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan