KUALA LUMPUR, 30 Dis -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerbitkan Senior Sukuk Wakalah Nota Jangka Sederhana Islam (Senior Sukuk Wakalah) dengan nilai nominal di bawah Program Sukuk Wakalah RM5 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata terbitan sukuk itu terbahagi kepada tiga peringkat dengan peringkat pertama selama lima tahun sebanyak RM475 juta dengan kadar pengagihan 3.87 peratus setahun, peringkat kedua selama tujuh tahun berjumlah RM225 juta pada kadar 4.14 peratus dan peringkat ketiga selama 10 tahun sebanyak RM100 juta pada kadar 4.25 peratus.
Ditawarkan menerusi proses menetapkan harga, Senior Sukuk Wakalah menerima permintaan yang menggalakkan daripada pelabur dengan jumlah pesanan yang diterima melebihi RM4.6 bilion yang diterjemahkan kepada kadar lebihan langganan, pada kadar lebih sembilan kali ganda daripada saiz terbitan sasaran awal sebanyak RM500 juta.
Sukuk Wakalah Senior dinaikkan saiz sasaran awal kepada RM800 juta yang mewakili nisbah menyeluruh akhir lebih lima kali pada penutupan.
Mengulas mengenai kejayaan penerbitan Senior Sukuk Wakalah itu , Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata lebihan langganan tersebut mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas kukuh dan hala tuju strategik kami walaupun sektor penerbangan merupakan salah satu industri yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19.
“Kami sangat berpuas hati dengan maklum balas dan sokongan yang diterima untuk tawaran Sukuk kami dan mahu mengucapkan terima kasih kepada pelabur atas keyakinan mereka terhadap pemulihan dan trajektori pertumbuhan sektor itu walaupun landskap pasaran yang mencabar dalam persekitaran pandemik global yang berpanjangan. MAHB kini memanfaatkan prospek pemulihan pasaran,” katanya.
MAHB kembali kepada pasaran pendapatan tetap untuk mengumpul dana bagi menyokong rancangan dan strategi pertumbuhan perniagaan kumpulan, terbitan sukuk terakhir MAHB adalah pada tahun 2020.
RAM Ratings Services Bhd memberikan penarafan kredit "AAA" dengan prosoek yang stabil untuk Senior Sukuk Wakalah.
MAHB akan menggunakan hasil terbitan untuk keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan am dan tujuan am korporat.
Kumpulan itu juga akan menggunakan hasil daripada terbitan itu untuk membiayai semula pinjaman sedia ada atau untuk membiayai kumpulan dan/atau untuk membayar yuran dan perbelanjaan yang berkaitan dengan Program Sukuk Wakalah. Keseluruhan penggunaan hasil itu adalah patuh Shariah.
HSBC Amanah Malaysia Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd adalah pengurus utama bersama untuk program Sukuk tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial