AM

COVID: Malaysia tidak mampu laksana 'lockdown' - Khairy

09/01/2022 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan -- Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat sekiranya melaksanakan lockdown (sekatan pergerakan) untuk mengekang penularan COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sebaliknya berkata strategi kerajaan untuk menyekat penularan wabak tersebut adalah dengan melaksanakan strategi mitigasi.

"Tidak dinafikan pendekatan China (melaksanakan lockdown) berkesan.

"Namun strategi mereka iaitu containment (pembendungan) atau 'zero COVID' bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif," kata Khairy menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau, hari ini.

Dalam ciapan itu, Khairy turut menyertakan tangkap layar laporan berita menyebut "Yuzhou : Second Chinese city forced into COVID lockdown" (Yuzhou : Bandar China kedua dikenakan sekatan pergerakan COVID).

Khairy berkata Malaysia telah mengurus kes positif dengan berkesan apabila kadar vaksinasi tinggi, selain turut mengingatkan rakyat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar kadar kematian, penggunaan unit rawatan rapi dan kemasukan ke hospital dapat dikurangkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjalankan tugas.

Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mempersoalkan latar belakang Dr Noor Hisham sebagai pakar bedah dan bukan daripada bidang kepakaran kesihatan awam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan