JENAYAH & MAHKAMAH

Sijil vaksin palsu: Doktor dipercayai minta rakan jadi ejen cari pelanggan

10/01/2022 11:38 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Jan -- Menjadikan rakan-rakan sebagai ejen antara taktik yang dipercayai digunakan seorang doktor untuk mencari individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata susulan itu, seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor tersebut ditahan di sekitar Marang, Dungun dan daerah ini pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

"Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan, ejen ini cari orang untuk vaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangan diambil," katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata ejen tersebut dibayar serendah RM50, manakala bayaran dikenakan untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu adalah antara RM400 hingga RM600 bagi setiap pelanggan. 

Terdahulu dalam sidang media pagi tadi, Rohaimi berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik.

Sabtu lepas, doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan di sebuah klinik swasta di Marang, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Rohaimi siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat angka sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan