EKONOMI

Projek pembangunan mampu jadikan Pelabuhan Kemaman pintu masuk utama perdagangan, perindustrian T’ganu

15/01/2022 09:10 PM

KEMAMAN, 15 Jan  -- Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman bukan sahaja akan menjadi pemangkin baharu ekonomi penduduk setempat, malah pelabuhan itu akan berupaya menjadi pintu masuk utama perdagangan dan perindustrian Terengganu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pada masa ini kapasiti pengendalian kargo di Pelabuhan Kemaman berjumlah tujuh juta tan metrik setahun dan pengendalian kargo akan meningkat kepada 33 juta tan metrik setahun apabila projek pembangunan pelabuhan itu siap pada 2025.

Katanya, ia akan terus meningkat berdasarkan unjuran semasa pembangunan perniagaan pelabuhan.

“Justeru, apabila kapasiti pengendalian kargo meningkat, pastinya jumlah pelaburan sama ada dari dalam atau luar negara akan turut meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman di Dermaga Timur di Pelabuhan Kemaman di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Kemaman merangkap Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman Che Alias Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) Saabi Wahab.

Menurut Wee pelan pembangunan itu antara lain meliputi projek pemasangan empat kren dan perluasan dermaga (jeti) sepanjang 650 meter yang memperuntukkan kos hampir RM1 bilion.

Kerja-kerja pemasangan kren dan perluasan dermaga akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2025, katanya.

 Wee berkata projek pembangunan pelabuhan itu amat diperlukan berikutan permintaan daripada pemain industri yang semakin meningkat dan pada masa yang sama, berupaya menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab komoditi dan perdagangan serta pintu masuk utama di wilayah Timur bagi komoditi berasaskan industri berat serta minyak dan gas.

Katanya projek pembangunan di pelabuhan itu juga seiring dengan keperluan masa depan memandangkan Terengganu mempunyai kawasan industri terutamanya minyak, gas dan petrokimia.

Beliau berkata pelan pembangunan itu juga akan membuka peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk setempat dan memberi ruang kepada kontraktor tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan