AM

MyCC pantau pelaksanaan RFID secara konsisten

20/01/2022 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau perkembangan pelaksanaan RFID di Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) secara konsisten selaras peranannya memperjuang dan mempromosi persaingan bagi kepentingan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengadakan perjumpaan dengan PLUS dan TNG pada Isnin (17 Jan) bagi mendapatkan pemahaman lebih lanjut dan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang lebuh raya PLUS.

“Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan. 

"Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian. Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” katanya.

Selain itu, Iskandar memaklumkan susulan peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh lebuh raya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dalam mesyuarat sama mengenai pelaksanaan itu termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol seperti kad debit, kad kredit dan sistem e-wallet yang lain.

Beliau berkata MyCC mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID bagi pengguna lebuh raya melalui kerjasama antara PLUS dan Touch 'n Go dalam sistem kutipan tol. 

"Walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya bahawa pelaksanaan sistem itu perlu dijalankan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan