JENAYAH & MAHKAMAH

Lima laluan sekitar Brickfields dilencongkan

22/01/2022 10:05 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan -- Lima jalan di sekitar Brickfields dilencongkan bermula 7 pagi ini bagi mengelak mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata lencongan melibatkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers, Jalan Rakyat dan Jalan Maarof.

Beliau berkata polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan daripada mana-mana individu atau pihak seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Perhimpunan ini jelas melanggar undang-undang Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata pengoperasian stesen membabitkan laluan Transit Aliran Massa (MRT), LRT, monorel dan Keretapi Tanah Melayu Berhad di sekitar ibu negara dihentikan sementara bermula 7 pagi ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai urusan di Kuala Lumpur terutama di kawasan LRT Bangsar dan sekitarnya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan urusan masing-masing.

“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya mengumumkan enam jalan utama di sekitar Kuala Lumpur iaitu Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail turut dilencongkan mulai 7 pagi ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan