EKONOMI

YB Ventures cadang terbitan waran bonus satu untuk dua

24/01/2022 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan -- YB Ventures Bhd telah mencadangkan untuk melaksanakan terbitan waran bonus untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya dan membenarkan kumpulan memperoleh hasil tanpa menimbulkan faedah apabila waran boleh tukar untuk tempoh tiga tahun dilaksanakan.

Pengilang jubin dan syarikat teknologi maklumat akan melaksanakan terbitan bonus sehingga 749 juta waran percuma berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham biasa sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Au Yee Boon berkata tawaran itu merupakan langkah korporat yang menarik untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham setia kami, membolehkan mereka mempunyai penyertaan yang lebih besar dalam terbitan YB Ventures tanpa menanggung sebarang kos.

“Kami juga yakin dapat mengekalkan tahun yang menguntungkan bagi tahun kewangan 2021 walaupun menerima kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Operasi perniagaan kami dibuka sepenuhnya selepas semua pekerja operasi kami mendapat dos kedua vaksin mereka yang selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata bahawa kumpulan itu akan meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) terhasil ekoran pandemik COVID-19.

"Persekitaran kadar faedah yang rendah dan lembaran imbangan syarikat yang kukuh meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk berunding dengan calon-calon berpotensi.

"Kami harap dapat memuktamadkan sekurang-kurangnya satu perjanjian M&A pada separuh pertama 2022. Perjanjian itu akan mewujudkan nilai bagi pemegang saham kami dengan menjana aliran tunai yang mampan kepada kumpulan,” katanya.

Kumpulan itu mempunyai wang tunai dan baki bank sebanyak RM122 juta dengan RM21 juta dalam pelaburan lain dan sifar pinjaman pada lembaran imbangannya setakat September 2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan