AM

KKMM perbanyak libat urus bantu pemain industri kreatif - Annuar

30/01/2022 01:44 PM

ALOR GAJAH, 30 Jan -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memperbanyakkan sesi libat urus dengan pemain industri kreatif dalam usaha memahami dan membantu mereka dalam pelbagai perkara berkaitan.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata selain itu, pemain industri kreatif juga boleh tampil ke hadapan untuk meluahkan sebarang idea atau masalah yang dihadapi kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia.

"Kita tidak mahu ada budaya tuding jari pada pihak tertentu (jika timbul sebarang masalah). Konsep Keluarga Malaysia kita adalah satu. Konsep Keluarga Malaysia siapa susah siapa senang kita tanggung bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai #KELUARGAMALAYSIA @ Melaka di Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) Junady Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Mahadhir Aziz.

Sementara itu, dalam program Sembang Santai itu, Annuar berkata sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah apabila hanya menyumbang sekitar lima hingga enam peratus setahun dan beliau mahu ia dipertingkatkan menerusi transformasi pendigitalan negara.

"Sekarang ini kita nak membudayakan seluruh rakyat supaya menyertai gelombang besar digitalisasi yang berlaku secara global kerana kalau lambat kita akan tertinggal. Sekali gus ia menjana pendapatan kepada individu dan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan