EKONOMI

Petronas, CADS bekerjasama lengkapi pekerja dengan kemahiran digital

08/02/2022 07:23 PM

KUALA LUMPUR, Feb 8 -- Petronas Digital Sdn Bhd (PDSB) bekerja sama dengan Centre of Applied Data Science (CADS) untuk memperkasakan tenaga kerjanya di Asia Tenggara dengan kemahiran digital bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesediaan masa depan dan kemampanan bakat. 

PDSB, cabang digital Petronas, merupakan rakan progresif bagi Project 2100 CADS-- inisiatif untuk mewujudkan ekosistem graduan dan profesional data yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan syarikat untuk mendapatkan tenaga kerja mahir data bagi Asia Tenggara. 

"Inisiatif ini bertujuan untuk menangani isu pengangguran akibat daripada kesan COVID-19 dengan menambah kemahiran dan latihan semula kepada penuntut, graduan dan profesional di rantau ini dalam bidang berkaitan data,” kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini. 

Kerjasama itu dirasmikan menerusi permeteraian Memorandum Persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif PDSB Aadrin Azly dan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CADS Sharala Axryd baru-baru ini.  

“Selain memulakan pelbagai program bagi pekerja kami untuk membangunkan pengetahuan, keupayaan dan keyakinan untuk berkembang maju dalam persekitaran yang mengutamakan digital, Petronas juga terus melabur dalam tenaga kerjanya di Malaysia bagi membantu merapatkan sebarang potensi ‘jurang kemahiran’,” kata Aadrin.

CADS akan bekerjasama dengan Petronas dalam program Digital Outreach Bootcamps bagi penuntut universiti di Malaysia serta Program Perantisan Data yang bertujuan membangunkan tenaga kerja mahir data. 

Inisiatif ini dan banyak lagi akan meningkatkan Project 2100 menerusi platform CADS.AI, yang mewujudkan peluang bagi meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dan tenaga kerja ASEAN menerusi program berkaitan data, akreditasi dan pensijilan di seluruh Asia Tenggara

“Kami berazam untuk membantu Petronas memperkasakan golongan muda di rantau ini dalam bidang data dan kami berharap kerjasama ini akan memperkukuh usaha Petronas untuk mencari lebih ramai tenaga kerja yang bercita-cita tinggi di luar sana bagi meningkatkan ASEAN di persada dunia,” kata Sharala.

CADS melancarkan platform pembelajaran kecerdasan buatannya, CADS.AI dan  Project 2100 pada September 2021, dengan sasaran untuk mempersiapkan tenaga kerja ASEAN, melengkapkan graduan dan profesiobal dengan kemahiran teknologi yang diperlukan untuk menjadi celik data dan mendorong ekonomi serantau ke arah pendigitalan. 

Sebagai sebahagian daripada Project 2100, CADS menyasar mendapatkan kira-kira 10 juta profesional data aktif menyertai platformnya di seluruh ASEAN menjelang 2025.

Bagi tujuan ini, ia bekerjasama dengan universiti, kolej dan peneraju dalam sektor teknologi, teknologi pertengahan dan pekerjaan dalam membangunkan tenaga kerja baharu dan meningkatkan nilai para pekerja. 

Sementara itu, Petronas menjalankan pelbagai inisiatif termasuk menubuhkan Akademi Digital Petronas dalam membangunkan tenaga kerja mahir digital dan menyokong pertumbuhan inovasi bagi syarikat dalam usaha peralihannya ke arah operasi secara jauh, autonomi dan dipacu digital. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan