AM

EmpowerNCER lahirkan 200 usahawan B40 di Pendang

12/02/2022 09:09 PM

PENDANG, 12 Feb  -- Seramai 200 usahawan daripada kumpulan B40 berjaya dilahirkan di daerah ini menerusi Program empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

NCIA dalam kenyataan berkata kesemua usahawan terbabit berjaya mencatatkan pendapatan terkumpul sebanyak RM3.1 juta hasil daripada pelbagai aktiviti keusahawanan walaupun ketika berdepan cabaran pandemik COVID-19.

"Program empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan telah mencapai kejayaan yang amat membanggakan dan melahirkan ramai usahawan baharu khususnya di daerah Pendang.

"Daripada jumlah 200 peserta keseluruhan empowerNCER Daerah Pendang, seramai 198 peserta telah berjaya meningkatkan pendapatan bersamaan 99 peratus dengan jumlah keseluruhan pendapatan yang dijana oleh peserta sebanyak RM3.1 juta," katanya.

Katanya program empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dirangka bagi meningkatkan keyakinan para peserta untuk membuka perniagaan sendiri dan menjana pendapatan tambahan. 

Pengisian program yang digarap berdasarkan keperluan ekonomi setempat dan golongan sasar serta mengaplikasikan pemasaran secara digital, berjaya menyokong usahawan tempatan untuk lebih berdaya saing.

Usahawan yang menyertai program itu akan mengikuti kursus kemahiran dan keusahawanan selama enam hingga 12 bulan, merangkumi sesi pembelajaran secara teori dan praktikal dan sokongan motivasi serta bimbingan perniagaan yang membolehkan mereka meningkatkan pendapatan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John dalam kenyataan yang sama berkata NCIA prihatin dalam membantu usahawan dengan menawarkan pelbagai kursus menerusi Program empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

"Selain menyediakan platform untuk memulakan perniagaan, NCIA turut membimbing usahawan sehingga berjaya dan keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Terdahulu, peserta yang berjaya menamatkan latihan di bawah program tersebut di daerah ini diraikan dan diberikan penghargaan dalam Majlis Penganugerahan Sijil Program empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan di Dewan Cenderawasih, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim, Pengarah Modal Insan NCIA Shahdee Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan