DUNIA

Sukan Olimpik Musim Sejuk terima reaksi positif atlet: IOC 

14/02/2022 06:27 PM

BEIJING, 14 Feb --  Penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 setakat ini disifatkan sebagai bertaraf kelas pertama dari aspek venue pertandingan, atlet, pengurusan acara, perkhidmatan meteorologi dan perubatan.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Penganjurnya, Yang Shu'an dalam satu sidang media di sini, pada Ahad berkata penggunaan teknologi canggih juga menjadi dorongan kepada beberapa catatan rekod baharu apabila 13 rekod Olimpik dan dua rekod dunia dicipta atlet setakat semalam.

Beliau berkata lapan rekod Olimpik dan satu rekod daripadanya dicipta di National Speed Skating Oval, atau “Reben Ais” yang mempunyai keluasan permukaan ais hampir 12,000 meter persegi.

Difahamkan, Reben Ais juga merupakan gimnasium geluncur ais pertama di dunia yang diperbuat daripada karbon dioksida.

Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Sukan Olimpik Antarabangsa (IOC), Christophe Dubi pula menyatakan ramai atlet berpendapat temasya sukan kali ini dianjurkan dengan cemerlang.

"Mereka (atlet) banyak berkongsi foto penuh dengan semangat serta keceriaan di media sosial dan ia tentunya satu pencapaian baik.

"Tetapi, pencapaian yang lebih utama adalah kepuasan para atlet," kata Dubi.

Beliau berkata kecemerlangan perkhidmatan penganjuran pula memberi impak mendalam kepada peserta, selain turut memuji sukarelawan dan anggota perkhidmatan lain dalam pengurusan gelembung tertutup.

"Mereka (anggota kawalan wabak) yang memakai sut pelindung telah menyediakan perkhidmatan kepada kita sambil memberikan senyuman di sebalik pelitup muka," kata Dubi ketika berkongsikan pengalaman berinteraksi dengan sukarelawan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan