IPOH, 14 Feb -- Kerosakan pagar elektrik di Kem Sri Banding, Gerik dipercayai menjadi punca seekor gajah memasuki kawasan itu seperti yang tular menerusi rakaman video hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya menerima laporan mengenai pecerobohan haiwan liar itu pada kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Punca gajah tersebut masuk mungkin disebabkan kerosakan pagar eletrik kem berkenaan.
“Pihak Perhilitan Daerah Gerik akan membantu dan memberi nasihat kepada pihak kem bagi kerja-kerja baik pulih,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini, dan turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan gajah berkenaan.
Hari ini, tular beberapa video yang menunjukkan seekor gajah dipercayai mencari makanan dalam kem milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dilihat turut merosakkan peralatan kawasan itu.
Yusoff berkata pihak Perhilitan percaya haiwan liar itu adalah gajah sama yang selalu pergi ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran Puncak Titiwangsa, Gerik untuk mencari makanan.
“Gajah ini sudah biasa dengan manusia dan biasa makan sisa manusia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial