BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 AM

DAKWAAN PETUNJUK BAHARU MH370, M'SIA TIDAK BOLEH BERTINDAK SECARA UNILATERAL - WEE

22/02/2022 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb -- Malaysia tidak boleh bertindak secara unilateral dalam usaha pencarian pesawat hilang MH370 walaupun terdapat dakwaan petunjuk baharu mengenai lokasi pesawat itu berdasarkan dokumen kajian Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata Malaysia sebaliknya perlu berbincang dengan kerajaan China dan Australia seperti perjanjian dan persefahaman yang dibuat tiga negara itu dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak… kita perlu mengesahkan penemuan itu daripada badan yang kompeten. Bukti yang boleh dipercayai mesti ditemui.

“Seperti mana yang kita gunakan, sekiranya terdapat bukti yang boleh dipercayai, bukti kukuh, maka kita tidak keberatan untuk teruskan (misi pencarian).

“Ini adalah persefahaman tiga negara. Tidak boleh ditentukan secara unilatreral oleh Malaysia. Terdapat perjanjian tiga pihak. Tiga negara telah bekerja keras (misi pencarian), apa-apa misi kita perlu berbincang antara tiga negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan sebelum ini, menyatakan kesediaan untuk  bekerjasama dengan ATSB mengenai dokumen dikeluarkan jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey yang mendakwa terdapat petunjuk baharu dalam mengenal pasti lokasi MH370 yang hilang.

ATSB sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah meminta pihak ketiga untuk menyemak data yang diperoleh daripada carian untuk mengesahkan semula bahawa tiada item yang menarik dikesan dalam carian sebelumnya berdasarkan dokumen Godfrey, ‘MH370 Flight Path’.

Menurut ATSB lagi, penemuan semakan itu dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi dan menyatakan bahawa sebarang keputusan untuk menjalankan pencarian lanjut pesawat MH370 akan menjadi urusan kerajaan Malaysia dan ATSB tidak mengetahui sebarang permintaan untuk menyokong pencarian baharu untuk pesawat yang hilang itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan