AM

MRSB sebagai badan pelesenan mampu bangunkan industri muzik Sarawak

26/02/2022 04:31 PM

KUCHING, 26 Feb -- Pengisytiharan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB) sebagai sebuah badan pelesenan mengutip royalti buat penggiat industri muzik Sarawak, dilihat mampu mempergiatkan lagi industri kreatif negeri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu juga bertepatan bagi menjaga hak komposer dari Sarawak di samping memberikan manfaat yang optimum kepada mereka.

“Melalui perluasan fungsi MRSB, ia dapat membantu mempergiatkan lagi industri kreatif Sarawak, khususnya bagi mengurus tadbir hak ekonomi penggiat-penggiat seni di Sarawak bagi memastikan kelangsungan hidup melalui janaan hasil pendapatan royalti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Sijil Badan Pelesenan kepada MRSB di sini, hari ini.

Melalui sijil itu, MRSB kini merupakan antara badan pelesenan diisytihar oleh Pengawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang diberi kuasa mengutip royalti muzik dan mewakili ahli-ahli eksklusif pemilik dan pencipta karya muzik, rakaman bunyi dan persembahan pelaku etnik Sarawak.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 963 ahli yang berdaftar dengan MRSB.

Antara ahli yang bernaung di bawah MRSB ialah pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan