AM

Jumlah PPS, mangsa banjir di Kelantan, Terengganu terus meningkat

27/02/2022 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb  -- Hujan lebat berterusan di Kelantan dan Terengganu mengakibatkan jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu terus meningkat malam ini berbanding petang tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat kepada 6,963 orang daripada 2,072 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 5,722 orang daripada 1,736 keluarga pada petang tadi, melibatkan 117 PPS yang beroperasi.

PPS tersebut merangkumi lapan daerah Terengganu iaitu 32 di Besut, Setiu (27), Kemaman (17), Hulu Terengganu (17), Dungun (17), Kuala Nerus (lima), Kuala Terengganu (satu) dan Marang (satu).

Sementara itu di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 7,558 orang daripada 2,449 keluarga setakat 9 malam ini, berbanding 6,018 orang daripada 2,019 keluarga, petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 66 PPS dibuka melibatkan tujuh jajahan iaitu masing-masing 16 di Kuala Krai dan Pasir Mas, 15 di Tanah Merah, lapan di Jeli, enam di Pasir Puteh, empat di Machang manakala satu di Kota Bharu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dalam kenyataan media hari ini berkata polis Kelantan telah menggerakan seramai 416 pegawai dan anggota, termasuk anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dalam membantu mangsa banjir  di negeri itu, yang dibekalkan 12 lori, empat pacuan empat roda, dua buah bot dan lain-lain kelengkapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan