MELAKA, 8 Mac -- KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) menyambung kembali projek Melaka Gateway di Pulau Satu (PME1) selepas kerajaan negeri menyerahkan semula melalui pemeteraian perjanjian pada 23 Feb lepas.
Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek di PME1 itu dijangka siap dalam tempoh enam tahun dengan jumlah pelaburan dianggarkan bernilai RM15.25 bilion.
Beliau berkata pembangunan di kawasan itu dimulakan dengan pembinaan Terminal Kapal Pelayaran Antarabangsa (MICT) yang dijangka siap dalam masa 15 bulan membabitkan pelaburan bernilai RM1.5 bilion.
“Kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada KAJD untuk membangun dan meneruskan operasi terminal kapal persiaran dalam lingkungan Zon Ekonomi Waterfront Melaka (M-WEZ) yang meliputi sebahagian daripada projek pembangunan tersebut.
“Selain itu PME1 juga bakal menyaksikan pembinaan taman tema moden bertaraf dunia yang menelan kos RM1.5 bilion dan dijangka siap awal 2026 yang dilihat mampu menarik kira-kira lima juta pengunjung setiap tahun kelak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan di tapak projek PME1 di Pulau Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KAJD Datuk Michelle Ong.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata projek Melaka Gateway dilihat bakal menjadi ‘Pintu Pelaburan Asia’ yang akan mengubah senario ekonomi Melaka daripada ‘Ekonomi Hujung Minggu’ kepada ‘Ekonomi 365 Hari’ dengan keseluruhan projek itu dijangka menarik pelaburan lebih RM46 bilion.
“Projek berskala mega itu juga akan menawarkan lebih 45,000 peluang pekerjaan dengan 11,470 kekosongan adalah pembangunan di PME1.
“Ia juga dilihat mampu menyumbang lebih RM125 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan unjuran impak berganda RM1.2 trilion manakala PME1 semata-mata akan menyumbang lebih daripada RM32.5 bilion kepada KDNK Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM306.73 bilion,” katanya.
Beliau berkata Melaka Gateway juga berpotensi menjadi hab komersial berikutan lokasi strategiknya di Selat Melaka selain berada di tengah-tengah antara dua bandar raya besar iaitu Kuala Lumpur dan Singapura.
“Kerajaan negeri Melaka yakin projek Melaka Gateway ini akan memberi impak yang besar terhadap landskap ekonomi negeri ini dan Malaysia secara amnya,” katanya.
Perjanjian bagi Projek Melaka Gateway ditandatangani pada 4 Okt 2017, namun disebabkan masalah teknikal dan juga penularan COVID-19 projek itu tidak dapat diteruskan sebelum ini.
Kedua-dua pihak membuat keputusan dan mencapai kata sepakat dengan satu perjanjian telah ditandatangani pada 23 Feb lepas berdasarkan arahan mahkamah supaya penyelesaian isu-isu projek itu diselesaikan dalam tiga bulan dan pihak kerajaan negeri mengambil langkah untuk menyelesaikannya bagi kepentingan bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial