AM

Alumni UPM bakal kibar bendera universiti di Puncak Everest

21/03/2022 03:20 PM

SERDANG, 21 Mac (Bernama) -- Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga pendaki solo negara, T. Ravichandran, akan menawan puncak Everest, dan mengibarkan kibar bendera UPM pada ketinggian 8,849 meter, tahun ini.

Menerusi Misi UPM di Puncak Dunia @Everest, Ravichandran, 57, berkata ia bakal menobatkan UPM sebagai universiti pertama di Malaysia mengibarkan benderanya di puncak Everest.

“Jika pada 2006 dan 2007 saya tawan puncak tertinggi dunia dengan mengibarkan bendera Malaysia, tapi kali ini agak istimewa sebab saya akan kibar bendera UPM," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera UPM di universiti berkenaan hari ini.

Katanya beliau akan bertolak ke Nepal Jumaat ini sebelum memulakan ekspedisi pada 28 Mac, dan dijangka berakhir hujung Mei ini.

“Saya mohon sokongan dari semua warga UPM, anda boleh mengikuti Facebook saya dan meninggalkan komen-komen positif sebagai tanda sokongan moral,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ditanya mengenai tahap persediaannya, beliau berkata terdapat dua sesi latihan pendakian yang akan diadakan di sekitar pergunungan di Nepal sebagai persiapan akhir.

“Walaupun sudah dua kali saya tawan Everest, tapi latihan tetap diperlukan. Bila kita mula mendaki, cuaca menjadi cabaran utama,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman menyifatkan misi berkenaan sebagai pengiktirafan kepada UPM dan berharap semangat yang ditonjolkan Ravichandran diteladani warga UPM.

“Kita (UPM) bangga ada alumni yang komited. Walaupun sumbangannya kepada universiti bukan dalam bentuk kewangan, tapi usaha ini mampu mengharumkan nama universiti dan melakar nama di peringkat dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan