KANGAR, 24 Mac -- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini bakal dimeriahkan lagi dengan penganjuran Program Fun Walk bersama Menteri Wilayah Persekutuan pada 26 Mac bermula 6 petang hingga 7 malam.
Menerusi satu kenyataan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyebut program itu adalah bertujuan untuk menjalin hubungan erat antara badan kerajaan dan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam menyebarluaskan inisiatif berteraskan konsep Wilayah Prihatin.
Katanya selain itu, pelaksanaan program itu juga dapat memastikan segala penyampaian maklumat dan program-program yang dilaksanakan oleh KWP dan agensinya dapat diterima baik oleh setiap peserta terlibat.
"Program ini akan melibatkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dengan disertai pegawai kementerian bagi sesi santai bersama peserta dan juga penduduk berdekatan supaya mereka boleh mendapatkan informasi yang lebih jelas,” menurut kenyataan itu.
Program Fun Walk melibatkan jarak lima kilometer iaitu peserta akan mengelilingi dua pusingan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra dan pihak penganjur turut menyediakan 200 kemeja-T untuk peserta terawal dan acara cabutan bertuah.
Jelajah AKM bakal berlangsung bermula 25-27 Mac dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan jangkaan kehadiran seramai 10,000 pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial