EKONOMI

Pengeluar makanan tarik balik sekatan terhadap minyak sawit akibat kekurangan minyak bunga matahari

28/03/2022 11:07 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Kekurangan bekalan minyak bunga matahari secara tiba-tiba telah memaksa pengeluar makanan untuk menarik balik sekatan terhadap minyak sawit dan kembali kepada minyak sayuran ini bagi bahan makanan mereka.

Pasar raya Iceland pada 2018 berjanji untuk mengeluarkan minyak sawit daripada semua makanan jenamanya sendiri, membuat pemulihan kepada tanaman yang menarik ini.

Pasar raya itu telah mengharamkan minyak sawit daripada makanan jenamanya sendiri dalam usaha menentang penebangan hutan tropika.

Pengarah Urusan Iceland, Richard Walker dilaporkan menyatakan penyesalannya kerana terpaksa mengingkari ikrarnya untuk mengeluarkan minyak sawit daripada semua barangan jenamanya sendiri.

“Satu-satunya alternatif untuk menggunakan minyak sawit dalam keadaan semasa adalah dengan membersihkan peti sejuk dan rak kami daripada pelbagai jenis makanan ruji termasuk produk kentang.

“Langkah itu adalah 'langkah terakhir dan langkah sementara yang ketat' dan kami hanya akan menggunakan minyak sawit mampan yang diperakui sebagai ramuan,” katanya dalam laporan akhbar, United Kingdom Daily Telegraph.

"Iceland akhirnya sedar dengan hakikat bahawa ia tidak boleh meletakkan produk makanan di rak runcitnya tanpa minyak sawit sebagai ramuan," kata seorang veteran 50 tahun dalam industri agrokomoditi, MR Chandran kepada Bernama.

Walker telah menugaskan Greenpeace untuk menghasilkan video ‘Rang Tan’ (video yang memburukkan minyak sawit) pada November, tahun 2018 untuk meningkatkan jualan Krismas Iceland, katanya.

The Daily Telegraph juga melaporkan bahawa pengilang makanan UK telah memberi amaran bahawa bekalan komoditi itu mungkin kehabisan dalam beberapa minggu kerana hasil tanaman itu terperangkap di Ukraine dan Rusia.

Ukraine dan Rusia menyumbang hampir 70 peratus daripada minyak bunga matahari dunia.

Minyak sawit menyumbang 32 peratus daripada pengeluaran minyak dan lemak dunia diikuti minyak kacang soya sebanyak 25 peratus dan minyak lain sebanyak 24 peratus.

Minyak rapeseed dan minyak bunga matahari masing-masing menyumbang sebanyak 11 peratus dan lapan peratus.

Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia mempunyai kapasiti untuk menampung permintaan yang semakin meningkat, Chandran berkata: "Ya, Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang diperakui masih lagi sekitar 75 peratus.

“Ini bermakna terdapat minyak sawit mampan yang diperakui mencukupi di pasaran untuk diperoleh Iceland. Bagaimanapun, mereka perlu membayar premium yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia hanya menggunakan antara 10 hingga 12 peratus daripada pengeluaran minyak sawitnya dan selebihnya dieksport.

Secara berasingan, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata harga minyak sawit telah meningkat secara berterusan sejak suku ketiga 2021 disebabkan pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Aishah Wan Hamid berkata konflik antara Rusia dan Ukraine telah mengakibatkan lonjakan permintaan untuk minyak sawit kerana ia adalah yang paling banyak didapati.

“Hasilnya, harga minyak sawit meningkat sebanyak 21 peratus kepada US$1,990 setan metrik (US$1=RM4.21) pada 2 Mac 2022 daripada US$1,640 setan metrik yang didaftarkan pada 25 Feb 2022,” katanya dalam kenyataannya ketika pembentangan semasa Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers), hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan