JENAYAH & MAHKAMAH

100,000 saham Bintang Iradat, Wisma MyPPP diserah kepada KPI - Mahkamah

30/03/2022 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan 100,000 saham dalam syarikat Bintang Iradat (M) Sdn Bhd dan Wisma MyPPP di Jalan Kampung Attap di sini, diserahkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).

Bintang Iradat adalah sebuah syarikat dibentuk sebagai entiti pelaburan dan korporat yang bertindak bagi pihak MyPPP.

Peguam Gavin Jay Anand Jayapal yang mewakili 12 bekas ahli MyPPP selaku plaintif berkata Pesuruhjaya Kehakiman Ong Chee Kwan memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman kesemua plaintif terhadap bekas Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas, enam individu, dua syarikat dan KPI selaku defendan pertama hingga ke-10.

KPI, yang disaman dalam kapasiti nominal, telah dilantik untuk mentadbir aset-aset MyPPP berikutan pembatalan pendaftarannya pada 14 Jan 2019.

“Mahkamah memutuskan perintah persetujuan yang diperoleh Datuk A. Chandrakumanan (defendan keempat) dan Datuk Ly Kim Cheong (defendan kelima) diketepikan.

“Mahkamah memerintahkan perintah injunksi kekal dimasukkan untuk menghalang Kayveas, Kayveas Holdings, Chandrakumanan, Ly, serta ejen-ejennya daripada memindah saham Bintang Iradat dan Wisma MyPPP serta mengarahkan wisma berkenaan dikosongkan dan diberi kepada Ketua Pengarah Insolvensi,” kata peguam itu.

Peguam itu berkata mahkamah turut memerintahkan Kayveas, Chandrakumanan dan Ly membayar kos guaman berjumlah RM300,000 dan perlu membayar kos RM150,000 setiap seorang kepada KPI.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding kes itu yang turut dihadiri peguam Ashraf Appoo mewakili defendan pertama hingga kelapan, peguam Datin Carolyn Cheah mewakili Datuk Lau Beng Wei dan Peguam Persekutuan Sufi Nasuha Abdul Halim bertindak bagi pihak KPI.

Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz dan 11 lagi bekas ahli MyPPP memfailkan saman pada 2019 dengan menamakan Kayveas, syarikatnya Kayveas Holdings Sdn Bhd, Bintang Iradat, Chandrakumanan, Ly, S. Vijayan, Shanker Kandaswamy, A. Kumara Raja, Lau dan KPI.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, selepas pembatalan pendaftaran MyPPP, semua aset yang dipegang oleh MyPPP dengan serta-merta diperuntukkan (vest) di bawah kuasa KPI selaras dengan Seksyen 17 Akta Pertubuhan 1966.

Kesemua plaintif mendakwa, sekitar November 2018 dan sebelum pembatalan pendaftaran parti itu, satu konspirasi yang menyalahi undang-undang dibentuk antara Kayveas dan pihak lain.

Konspirasi tersebut antaranya bertujuan untuk menyebabkan kerugian, kemudaratan dan kerosakan kepada Maglin, Datuk A. Kandasamy Mohan (plaintif keenam) dan ahli-ahli MyPPP yang berhak kepada pengagihan aset-aset MyPPP selepas pembatalan pendaftarannya dan mengeluarkan Maglin serta Mohan sebagai pengarah dan pemegang saham dalam Bintang Iradat.

Kesemua plaintif mendakwa Chandrakumanan dan Ly secara sengaja memasuki penghakiman persetujuan bertarikh 16 Jan 2019 berhubung pemindahan pemegangan saham yang direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Darryl Goon Siew Chye, walaupun mengetahui pendaftaran MyPPP telah dibatalkan dua hari sebelum itu.

Oleh itu, plaintif antaranya memohon deklarasi bahawa penghakiman persetujuan tersebut diketepikan, memohon deklarasi bahawa 100,000 saham di Bintang Iradat dan Wisma MyPPP adalah milik MyPPP dan diperuntukkan di bawah kuasa KPI berikutan pembatalan pendaftaran parti berkenaan.

Plaintif juga memohon injunksi kekal diberikan supaya menghalang Kayveas serta ejen-ejennya memindahkan saham Bintang Iradat dan Wisma MyPPP serta mengosongkan dan memberikan wisma berkenaan kepada KPI.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan