PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Pengusaha stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing akan dikenakan tindakan tegas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan terbabit.
"Kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiat pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974)," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Akta itu memperuntuk penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.
Nanta berkata KPDNHEP memandang serius isu tular kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi petrol menggunakan nozel kuning disyaki RON 95 yang merupakan minyak bersubsidi.
Susulan itu, beliau berkata bahagian penguatkuasa KPDNHEP telah diarah menjalankan siasatan serta-merta dan pemantauan lebih agresif di semua stesen minyak terutama yang berdekatan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.
Katanya aktiviti penguatkuasaan lebih agresif juga akan dilaksana dengan pelancaran Ops Pantau 2022 hari ini bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah serta pematuhan tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan penuh sektor ekonomi dan pintu sempadan negara pada 1 April lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial