EKONOMI

Malaysia dijangka terima lebih banyak delegasi perdagangan, pelaburan pada separuh kedua 2022 -- MGBF

04/04/2022 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Malaysia dijangka menerima lebih banyak delegasi perdagangan dan pelaburan pada separuh kedua tahun 2022, demikian menurut Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF).

Pengerusi Pengasas Nordin Abdullah berkata Malaysia juga boleh menjangkakan pulangan besar daripada  pengembara perniagaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang memandangkan negara ini masih kekal sebagai destinasi perniagaan yang popular di ASEAN.

Beliau berkata Malaysia popular dalam kalangan pengembara perniagaan kerana prospek pertumbuhan ekonomi domestiknya pada tahun-tahun mendatang serta akses kepada pasaran ASEAN yang lebih luas.

"Selain itu, kesalinghubungan udara,  penginapan perniagaan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif, serta komuniti perniagaan berbahasa Inggeris telah menjadi pemangkin kepada mereka untuk memilih Malaysia sebagai destinasi perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nordin menambah lebih 50 peratus dewan perniagaan antarabangsa dan persatuan industri yang ditinjau mempertimbangkan untuk menghantar pasukan peninjau ke Malaysia, dengan tujuan menghantar delegasi perniagaan penuh ke negara ini pada separuh kedua 2022.

Beliau berkata peratusan yang sama golongan profesional pembangunan perniagaan peringkat kanan percaya bahawa pertemuan secara bersemuka lebih memberi kesan untuk membina hubungan selepas perlu bergantung pada mesyuarat maya bagi menjalankan aktiviti pembangunan perniagaan sejak dua tahun lepas.

Beliau menambah politik domestik yang dinamik kekal menarik dari segi menangani jurang persefahaman dalam perniagaan antarabangsa yang ingin berkembang ke Malaysia.

"Komunikasi dan penglibatan dengan komuniti perniagaan antarabangsa terus penting untuk memastikan prosedur operasi standard difahami kerana ramai yang akan melakukan perjalanan dari negara yang mempunyai perbezaan besar dari segi tindak balas COVID-19 mereka," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan