SANDAKAN, 7 April (Bernama) -- Kumpulan Sawit Kinabalu menjangka pusat integrasi ternakan lembu, yang sedang dibangunkannya di Balung, Tawau akan meningkatkan tahap sara diri negeri Sabah untuk daging lembu dalam tempoh empat tahun akan datang.
Pengarah Urusannya, Datuk Bacho Jansie berkata projek bernilai RM47 juta itu dijangka meningkatkan populasi ternakan itu yang sedang diusahakan oleh Sawit Kinabalu daripada kira-kira 15,000 ekor kepada 50,000.
“Sawit Kinabalu telah lama berkecimpung dalam penternakan lembu (di bawah anak syarikat Sawit Kinabalu Farm Products Sdn Bhd).
“Kami melihat potensi yang besar jika Sawit Kinabalu berkecimpung dalam usaha ini secara serius untuk mengembangkan perniagaan pengeluaran daging halal. Oleh itu, Sawit Kinabalu perlu meningkatkan lagi populasi sehingga 40,000 atau 50,000 ekor lembu agar dapat dikomersialkan.
“Bagi mencapai sasaran ini, Sawit Kinabalu perlu menyediakan pemakanan yang berkualiti dan murah,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa kumpulan itu di sini malam tadi.
Bacho berkata antara usaha untuk menyediakan makanan haiwan itu ialah penanaman rumput Napier dengan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 400 hektar, pemprosesan makanan lembu daripada kelapa dan daun kelapa sawit serta penanaman ubi kayu.
Menurutnya, pengeluaran daging lembu yang berkonsepkan halal itu akan disalurkan ke pasaran tempatan memandangkan Sabah kini mengimport sehingga 95 peratus daging itu.
“Bagi meningkatkan populasi lembu dengan cepat, kami mungkin akan mengimport 1,000 atau 2,000 ekor lembu dari Australia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bacho berkata Sawit Kinabalu telah membayar zakat perniagaan lebih RM8 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) selepas mencatatkan keuntungan lebih RM300 juta pada 2021.
Pada tahun lepas, Sawit Kinabalu membayar zakat perniagaan berjumlah lebih RM3.5 juta.
“Sempena Ramadan ini, kami juga ingin berkongsi keuntungan ini dengan beberapa organisasi yang terpilih di setiap wilayah Sawit Kinabalu beroperasi dan menjayakan tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat setempat,” katanya.
Sumbangan berjumlah RM100,000 disampaikan kepada 10 organisasi merangkumi rumah anak-anak yatim, warga tua dan orang kurang upaya di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan minggu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial