AM

Kaukus Medical Cannabis bawa isu industri hem, ganja dan ketum kepada PM

12/04/2022 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Kaukus Medical Cannabis hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan dan ketum untuk kegunaan di Malaysia.

Menurut kaukus berkenaan dalam kenyataan hari ini, semasa pertemuan itu perdana menteri telah memberi respons positif terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan isu-isu berkenaan akan diperhalusi pada mesyuarat Kabinet.

“Industri ini adalah satu industri yang sedang giat dibangunkan oleh banyak negara luar. Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion. Malah, negara jiran seperti Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk negara mereka.

“Kaukus Medical Cannabis percaya bahawa Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar dalam industri ini untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan mampu memberi manfaat besar kepada negara,” menurut kenyataan tersebut.

Pada pertemuan berkenaan kaukus itu juga telah membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

“Pandangan perundangan juga menjadi perhatian utama dalam pertemuan rasmi sebentar tadi. Kaukus Medical Cannabis mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian perdana menteri atas sesi pertemuan rasmi sebentar tadi.

“Kerjasama yang erat dalam isu ini sudah pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat dan negara,” kata kenyataan itu.

Kaukus Medical Cannabis adalah jalinan kerjasama dwipartisan antara Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain Syed Saddiq, anggota kaukus lain yang hadir dalam pertemuan itu ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Khalid Abd Samad (Shah Alam), Datuk Dr Xavier Jayakumar A/L Arulanandam (Kuala Langat), Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (Kuala Kedah).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan