PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Satu peraturan kecil berhubung penggunaan skuter elektrik atau e-skuter akan diputuskan termasuk pelaksanaan lesen terhadap pengguna e-skuter dan pembekal kenderaan berkenaan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
“Tidak lama lagi, kita akan keluarkan kaedah atau undang-udang kecil untuk dipatuhi, (contohnya) untuk kelajuan tertentu mereka perlu mempunyai lesen,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Sambutan Hari Raya 2022 di sini hari ini.
Wee berkata penggunaan e-skuter kini semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat yang memerlukan penyelesaian sewajarnya untuk mengelakkan pengguna terdedah kepada risiko nahas memandangkan kelajuannya seperti motosikal.
Beliau berkata penggunaan kenderaan elektrik adalah termaktub dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan) 2020 merangkumi aspek kenderaan mikro mobiliti yang mempunyai peraturan kecil mengenai spesifikasi berkaitan.
Wee juga berkata kenderaan mikro mobiliti adalah terlalu banyak dengan menggunakan nama berbeza, justeru ia memerlukan satu definisi jelas yang akan dibuat melalui peraturan kecil berkenaan.
“Saya rasa kita kena perhalusi setiap satu dan sebenarnya libat urus telah dibuat berkali-kali. Jumlah mikro mobiliti ini banyak, nama e-basikal tapi bukan basikal iaitu kelajuan sangat tinggi dan tidak menggunakan pedal.
“Kita kena lihat setiap satu supaya tidak terlepas pandang. Definisi kena jelas dan kita kena kawal (penggunaan mikro mobiliti) demi kebaikan semua orang,” katanya.
Sebuah portal hari ini melaporkan aktiviti penggunaan e-skuter secara berbahaya di Cyberjaya tanpa menghiraukan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain.
Menurut Akta 333, takrifan kenderaan mikro mobiliti membawa maksud kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia, dan mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam (km/j).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial