KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Cagamas Holdings Bhd mencatatkan pertumbuhan positif perniagaan pada 2021 dengan aktiviti perniagaan kekal baik walaupun dalam persekitaran yang mencabar.
Dalam kenyataan hari ini, katanya entiti operasi utamanya, Cagamas Bhd, mencatatkan pembelian aset terbesar sejak 2017 pada RM13.8 bilion di bawah skim Pembelian Dengan Rekursa (PWR), yang menggambarkan momentum perniagaan pra-pandemik.
Cagamas juga berjaya menerbitkan sejumlah RM19.2 bilion bon dan sukuk pada tahun 2021, tertinggi sejak 2002.
“Terbitan itu termasuk RM11.9 bilion dalam penerbitan hutang konvensional dan RM7.3 bilion dalam sukuk. Terbitan mata wang asing menyumbang 13 peratus atau RM2.6 bilion daripada jumlah terbitan.
“Cagamas kekal sebagai salah satu penerbit bon korporat dan sukuk terbesar di Malaysia dengan 4.1 peratus daripada jumlah bon korporat dan sukuk yang belum ditebus dan 18.1 peratus daripada bon dan sukuk bertaraf AAA yang belum ditebus,” katanya.
Pada 2021, Cagamas berkata pihaknya terus menerbitkan Bon Kemampanan ASEAN dan Sukuk SRI Kemampanan ASEAN bernilai RM700 juta untuk membiayai pembelian aset mampan yang layak.
Pengerusi Datuk Bakaruddin Ishak berkata bagi tahun 2022, kumpulan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk menerapkan unsur Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam strategi korporat mereka.
“Ini termasuk membangunkan metodologi pembiayaan hijau untuk pembiayaan rumah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial