AM

AIDILFITRI: 445 TANGKI STATIK DITEMPATKAN DI KAWASAN GANGGUAN BEKALAN AIR - AKSB

02/05/2022 08:23 AM

KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Sebanyak 445 tangki statik ditempatkan di kawasan sering mengalami gangguan bekalan air terawat di Kelantan sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed berkata tangki statik tersebut ditempatkan di lokasi strategik seperti masjid, surau dan taman-taman perumahan bagi memudahkan pelanggan AKSB mengambil air.

"Pelbagai saiz tangki statik iaitu dari 250 hingga 2,000 gelen akan digunakan bergantung kepada keperluan setempat.

"AKSB memohon kerjasama pengguna dan orang awam supaya menyalurkan sebarang aduan termasuk insiden paip pecah atau bocor dengan segera ke platform aduan rasmi AKSB seperti applikasi myAKSB, " katanya ketika dihubungi Bernama.

Azuhan berkata sebanyak sembilan lori tangki air AKSB dan 31 lori air kontrak turut digunakan untuk mengisi tangki statik bagi kegunaan premis seperti hospital, pusat pengajian, pusat komersial serta pelanggan yang memohon khusus untuk warga emas.

"Kebanyakan tangki statik dan lori air kontrak dibiayai peruntukan daripada kerajaan negeri Kelantan.

"Selain itu, bagi pelan mitigasi jangka panjang pula merangkumi pembinaan loji-loji baharu bagi membekalkan air terawat ke kawasan tersebut," katanya.

Sebelum ini, AKSB memaklumkan semua Loji Rawatan Air (LRA) AKSB akan beroperasi kapasiti maksimum dengan keseluruhan pengeluaran air sebanyak 519 juta liter sehari (JLH) bagi memenuhi permintaan dijangka meningkat sepanjang cuti perayaan Aidilfitri kali ini.

Kerja-kerja penyelengaraan berjadual di LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran ditunda selain akan memastikan stok bahan kimia di LRA mencukupi bagi pengoperasian loji sepanjang  musim perayaan Hari Raya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan