BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Jentayu Sustainables Bhd mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Ipmuda Properties Sdn Bhd (IPSB), memeterai perjanjian usaha sama dengan Encorp Development Sdn Bhd (EDSB) untuk membangunkan blok kondominium setinggi 10 tingkat di Sabah dengan nilai pembangunan kasar RM78 juta.
EDSB adalah anak syarikat milik penuh Encorp Bhd.
Jentayu dalam satu kenyataan hari ini berkata cadangan pembangunan kondominium itu akan dibina di tanah pegangan pajak seluas 0.65 hektar di Bukit Kepayan, Kota Kinabalu.
Projek itu akan terdiri daripada 78 unit Type A dan 88 uni Type B dengan kawasan binaan masing-masing seluas 787 kaki persegi dan 530 kaki persegi. IPSB adalah pemilik berdaftar tanah itu.
“Pembangunan dijadual bermula pada Mei 2022 dan dijangka siap pada April 2025,” katanya.
Sejajar dengan perjanjian usaha sama itu, IPSB akan bertanggungjawab mendapatkan kelulusan bagi pelan, permit dan lesen yang perlu untuk cadangan pembangunan itu.
Manakala EDSB akan terlibat dalam mereka bentuk, merancang, membina dan menyiapkan pelan susun atur yang diluluskan.
“Menerusi perkongsian ini, IPSB akan layak mendapat minimum RM10.8 juta atau peratusan daripada nilai pembangunan kasar tanah, sehingga RM11.3 juta. Kami sedar bahawa ini merupakan peluang terbaik untuk memanfaatkan nilai dan potensi tanah kami,” kata Pengerusi Eksekutif Jentayu Datuk Beroz Nikmal Mirdin.
Beliau berkata usaha sama itu adalah sejajar dengan langkah rasionalisasi aset kumpulan
“Akhir sekali, tumpuan utama kami adalah bagi usaha niaga tenaga boleh diperbaharui (RE). Oleh itu, strategi kumpulan adalah untuk menjana keuntungan daripada set bukan hasil dan menggunakan wang yang dijana itu bagi perniagaan RE kami, bidang yang kami lebih berpengalaman.
“Pasukan kami telah berusaha keras untuk memastikan penyampaian projek RE kami dan kami terus yakin dengan usaha kami untuk menjadi pemain RE utama di Malaysia,” kata Beroz Nikmal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial