KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan terus menjadi pembekal utama maklumat berlandaskan fakta tepat dan berita pantas bagi mendidik masyarakat sekali gus mewujudkan Malaysia yang lebih makmur.
Menyambut ulang tahun ke-55 esok, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin berkata Bernama perlu menetapkan wawasan untuk meneruskan peranannya sebagai agensi berita yang membantu masyarakat dan negara khususnya dalam cabaran menangani berita palsu.
"Untuk cabaran sekarang kita tahu banyak media, orang kata maklumat palsu, yang tidak benar, berita palsu yang menjadi cabaran untuk kita tangani… jadi wawasan kita kali ini ialah bagaimana untuk menangani masalah ini, untuk membezakan mana yang benar mana yang auta.
"Di Bernama, kita akan berusaha menjadi agensi berita yang terbaik dalam membekalkan fakta, berita tepat dan sepantas mungkin kepada masyarakat," katanya sempena sambutan ulang tahun ke-55 Bernama.
Ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara, Bernama mula beroperasi pada 20 Mei 1968.
Meskipun berdepan cabaran pemberitaan baharu, Roslan berkata Bernama mempunyai jenama tersendiri sebagai sebuah agensi berita yang amat dipercayai.
Berbekalkan lebih separuh tenaga kerja dalam kalangan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah yang akan membawa cabaran Bernama pada masa akan datang, beliau berkata agensi berita itu juga tidak ketinggalan mengguna pakai teknologi terkini sebagai antara peralatan dalam membekalkan maklumat kepada rakyat selain membantu menyampaikan hasrat kerajaan.
Berkongsi pengalaman lebih 30 tahun sebagai wartawan, Roslan berkata setiap individu yang menyertai profesion itu perlu sentiasa mencari ruang untuk meningkatkan ilmu dalam membentuk diri menjadi wartawan terbaik.
“Menjadi seorang wartawan, pertama sekali ialah ada akal sebab kita menempuh begitu banyak cabaran, dan daripada pengalaman saya sendiri, kita sebenarnya perlu mempunyai kekuatan minda untuk kita selesaikan masalah dan antara tugas kita adalah untuk berfikir, mencari yang terbaik untuk masyarakat.
“...tetapi dengan cabaran hari ini, elemen tambahan perlu ada maka pertama sekali, yang paling besar kita perlu mempunyai ilmu kerana dengan ilmu kita akan membentuk diri menjadi wartawan terbaik dan untuk menyampaikan maklumat serta fakta, kita mestilah menjadi insan yang berilmu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial