EKONOMI

SYARIKAT BERPANGKALAN DI AS YAKIN MALAYSIA MASIH LAGI DESTINASI PELABURAN MENARIK -- AZMIN ALI

20/05/2022 12:53 PM

Daripada Niam Seet Wei

LOS ANGELES, 20 Mei (Bernama) -- Syarikat-syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yakin bahawa Malaysia masih lagi merupakan destinasi pelaburan yang menarik, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Mereka melihat potensi Malaysia untuk terus maju dalam ekonomi digital dan bersedia membantu Malaysia perkukuhkan daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Azmin berkata demikian kepada pemberita Bernama dan TV3 baru-baru ini selepas menamatkan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) di AS yang berlangsung selama 10 hari, bermula 9 hingga 18 Mei.

“TIM ke AS amat berjaya, kami bukan sahaja dapat mengadakan perbincangan dan mengetengahkan dasar-dasar kerajaan kepada pihak pentadbiran AS, tetapi juga dapat mengadakan rundingan dan  perbincangan dengan syarikat-syarikat utama yang berpangkalan di AS,” katanya.

Selain itu, beliau menambah Malaysia dapat melihat komitmen pihak AS bukan sahaja mereka hendak membawa pelaburan ke dalam negara, tetapi turut bersetuju dan komited untuk membina rantaian bekalan yang lebih luas dan kukuh dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

“Mereka juga bersedia membina ekosistem dan memindahkan teknologi dan kepakaran kepada syarikat tempatan. Ini pasti akan memberikan ruang dan peluang yang cukup besar kepada Malaysia untuk menembusi pasaran global dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Semasa misi perdagangan dan pelaburan itu,  Azmin telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan AS Gina M Raimondo dan Duta Wakil Perdagangan AS Katherine Tai di Washington DC.

Satu Memorandum Kerjasama (MoM) bagi memastikan daya tahan rantaian bekalan telah ditandatangani antara Azmin dan Raimondo pada Mei 10.

Menurut Azmin, Malaysia dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari AS melalui misi perdagangan dan pelaburan berkenaan.

Antara syarikat gergasi yang dikunjungi Azmin termasuk Starlink, penyedia  internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan kependaman rendah yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa Elon Musk, SpaceX; , Amazon Web Services Inc (AWS); dan Microsoft Corporation.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan