SUKAN

Sukan SEA: Pasukan fin swimming negara punya aspirasi jadi pesaing pingat

20/05/2022 03:42 PM

Daripada Vikneswaran Raman

HANOI, 20 Mei (Bernama) – Skuad finswimming negara, yang bakal membuat penampilan sulung mereka dalam Sukan SEA di National Aquatic Sports Palace di sini esok, mempunyai aspirasi untuk muncul sebagai pesaing pingat dalam tempoh lima tahun.

Sukan tersebut yang masih baru di Malaysia telah lama bertapak di Eropah dan Vietnam adalah perintis di rantau ini bersama Indonesia, justeru menjadi pasukan pilihan dalam temasya dwitahunan itu.

Ketika finswimming pertama kali diperkenalkan pada edisi Sukan SEA 2003, Vietnam menyapu bersih 13 daripada 16 emas yang dipertandingkan serta membawa pulang empat emas di Laos (2009) dan enam di Indonesia (2011).

Pasukan kebangsaan dianggap masih bertatih dalam sukan itu selepas penubuhan secara rasmi Persatuan Finswimming Malaysia tahun lepas dan penyertaan tunggal mereka dalam kejohanan antarabangsa sebelum Sukan SEA adalah Piala Dunia University FISU di Itali pada akhir Mac lepas.

Bekas perenang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Khiew Tze Yean, 22, yang akan berentap dalam acara 100 meter (m) bi-fin lelaki dan 4x100m bi-fin berganti-ganti campuran, berharap debut itu akan menjadi lebih bermakna dengan pungutan pingat.

“Pertamanya saya mahu mengatasi rekod peribadi 45.8s dalam acara individu dan berharapkan satu pingat. Saya rasa peluang mendapatkan pingat lebih cerah bagi pasukan berganti-ganti, namun saya akan lakukan yang terbaik dalam kedua-dua acara,” katanya kepada Bernama. 

“Saya adalah bekas perenang negeri, kemudian mewakili Malaysia dalam polo air pada Sukan SEA Filipina 2019 dan tahun ini membuat debut dalam finswimming. Finswimming hampir sama seperti sukan renang, tetapi dengan memakai peralatan dan ia lebih selesa dan lebih pantas, itu yang membuatkan saya mahu menyertai sukan ini,” kata abang kepada perenang sensasi negara Khiew Hoe Yean itu.

Seorang lagi bekas perenang negeri yang mewakili Malaysia dalam Sukan Sekolah ASEAN 2018, Leong Wan Mei berkata pada peringkat awal, agak mencabar baginya untuk menyesuaikan diri dengan finswimming.

“Saya mula berenang pada usia tujuh tahun dan mula menyertai pertandingan ketika berusia 13 tahun. Pada mulanya menyesuaikan diri memakai peralatan seperti sirip, topeng menyelam rasa lebih sukar, mengambil masa, tetapi sekarang saya selesa,” kata atlet dari Sarawak berumur 22 tahun itu yang akan bertanding dalam 100m bi-fin wanita dan 4x100 bin fin berganti-ganti campuran.

Sementara itu, pengurus pasukan S.Ravivarma percaya anak buahnya mampu mencapai prestasi baik pada pertandingan yang bermula besok, selain berharap untuk membangunkan sukan itu dalam beberapa tahun akan datang bagi menghasilkan pemenang pingat emas, jika Malaysia menyenaraikan sukan itu pada edisi 2027 kelak.

“Atlet kita agak bagus kerana latar belakang renang mereka, tetapi kita perlu ingat bahawa tidak semua perenang yang bagus boleh menjadi atlet finswimming. Peralatan yang digunakan mempunyai rintangan, mereka harus mampu menanganinya.

“Tuan rumah Sukan SEA selepas ini Kemboja sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan sukan ini dan tuan rumah 2025 Thailand besar kemungkinan akan bertanding. Jadi kita perlu meningkatkan pembangunan kita,” tambahnya.

Terdapat dua jenis sirip digunakan dalam perlumbaan, sama ada monofin - sirip yang memegang kedua-dua belah kaki seperti ikan duyung atau bi-fin - satu sirip untuk setiap kaki.

Pada peringkat antabarangsa, finswimming mempunyai tiga kategori utama iaitu Apnoea, Surface dan Bi-fin.

Apnoea adalah perlumbaan bawah permukaan air dengan memakai topeng serta monofin dan menahan nafas untuk 50m atau berserta silinder udara mampat untuk perlumbaan 100m dan 200m, manakala dalam Surface perenang berlumba pada permukaan air.

Bagi Bi-fin, atlet berenang pada permukaan air dengan memakai topeng, snorkel dan sepasang sirip menggunakan gaya merangkak, biasanya untuk perlumbaan 50m dan 100m.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan