SUKAN

Sukan SEA: Harith Haiqal, Azri Ghani terlepas saingan rebut gangsa bertemu Indonesia

21/05/2022 06:22 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syami Mohamad Arif

HANOI, 21 Mei (Bernama) -- Malaysia mungkin turun tanpa dua pemain utamanya dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 menentang Indonesia di Stadium Nasional My Dinh di sini, esok.

Dua tonggak tersebut ialah pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar dan penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani yang mengalami kecederaan ketika menentang Vietnam di separuh akhir Khamis lepas.

Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan Brad Maloney berkata pertarungan separuh akhir yang berlanjutan ke masa tambahan itu, telah memberi impak tidak dijangkakan kepada pasukan termasuk kecederaan pada beberapa pemainnya.

“Ia satu perlawanan yang sukar dari segi fizikal pada malam itu dan sudah tentu mereka bermain lebih 120 minit, jadi secara fizikalnya ia amat memenatkan kepada pemain. Kami telah melakukan empat pertukaran, dengan beberapa pemain mengalami kekejangan otot, kecederaan dan lebam. 

“Ada beberapa pemain tertentu yang boleh dipilih, namun kami akan terus membuat penilaian selepas latihan hari ini. Mungkin ada satu atau dua keraguan kerana Harith Haiqal adalah pemain penting, mungkin dia boleh bangkit daripada kecederaan tetapi masih ada juga keraguan, begitu juga dengan penjaga gol yang mengalami kecederaan agak teruk,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media menjelang perlawanan penentuan pingat gangsa bola sepak lelaki Sukan SEA di pejabat Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maloney berkata pemainnya telah pulih agak baik daripada kekalahan di peringkat separuh akhir selepas menjalani proses pemulihan yang rapi, selain diberi perhatian untuk kembali cergas sepenuhnya menjelang pertembungan dengan Indonesia.

“Mereka sudah bersedia untuk perlawanan esok, apa yang kami faham pertembungan antara Indonesia dan Malaysia ini amat bermakna kepada kedua-dua negara, jadi pemain saya sudah cukup bersedia untuk perlawanan esok,” katanya.

Sementara itu, Maloney berkata pemain sayap Saddil Ramdani yang bermain dalam Liga Super untuk Sabah FC, merupakan antara pemain Indonesia yang perlu diberi perhatian penuh kerana mampu menjadi ancaman besar di padang.

Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia Shin Tae Yong berkata prestasi pasukan Malaysia sukar untuk diramal kerana ada masanya anak buah Maloney itu bermain dengan bagus tetapi kadangkala sebaliknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan