SEREMBAN, 24 Mei (Bernama) -- Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dan ribut petang tadi sehingga menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menghalang laluan utama.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Penguasa Kanan Bomba II Zamhuri Zainnordin berkata antara kawasan terbabit ialah Taman England, Sikamat; Taman Nyior, Garden lake dan Kampung Semarak.
“Pusat operasi kita banyak terima panggilan ada pokok tumbang, ribut dan banjir kilat sejak petang tadi dan sehingga kini kami masih menjalankan operasi menyelamatkan mangsa dan mengalihkan pokok tumbang.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan air juga sudah makin surut. Setakat pukul 10.30 malam ini jumlah mangsa terjejas belum dapat dipastikan,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata kira-kira 70 rumah terjejas akibat banjir di Kampung Ismail, Ampangan dekat sini yang naik sehingga paras dada, bagaimanapun air telah mulai surut.
Beliau berkata di Bukit Chedang, ketinggian air banjir 0.3 hingga 0.6 meter dan bacaan hujan di stesen berhampiran adalah 83.5 milimeter.
"Paras air semasa di Sungai Linggi adalah 44.80 meter iaitu pada paras bahaya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka. Air naik akibat hujan lebat dalam masa yang singkat, air di Sungai Kepayang melimpah serta backflow disebabkan paras Sungai Linggi yang tinggi," katanya dalam kenyataan.
Mohd Syukri berkata terdapat beberapa kawasan lagi di daerah ini yang terjejas banjir kilat dan pihaknya sedang giat menjalankan operasi menyelamatkan mangsa banjir. APM turut menerima laporan pokok tumbang di sekitar Jalan Pantai, Seremban berdekatan Kilang Koko dekat sini.
Sementara itu, mangsa banjir Mohd Irqim Mohamad, 27, dari Taman Lee Siew Joo berkata air naik sehingga paras pinggang akibat hujan lebat kira-kira 7 malam tadi.
"Hujan lebat, air naik mendadak tidak sampai setengah jam iaitu kira-kira 8 malam ini, namun air semakin surut," katanya kepada Bernama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial