KOTA BHARU, 10 Jun (Bernama) -- Kelantan FC meminjamkan pemain importnya Natanael Siringoringo kepada pasukan Dewa United FC yang berpangkalan di Tangerang, Banten Indonesia sehingga tamat pusingan pertama Liga 1 2022/2023.
Pemilik pasukan Kelantan FC Norizam Tukiman berkata Dewa United FC berminat untuk mendapatkan khidmat Natanael yang juga berasal dari Indonesia bagi memperkuatkan pasukan tersebut dalam saingan liga negara tersebut.
"Pertemuan di antara pengurusan tertinggi kedua-dua kelab pada bulan lepas di Bali telah membincangkan hala tuju pemain ini untuk mendapatkan pengalaman berharga bermain di tahap tertinggi Liga Indonesia.
"Pinjaman pemain ini hanya sementara bagi memberi peluang kepada Natanael meningkatkan tahap permainan di negara asalnya sebelum kembali bersama Kelantan FC musim depan," katanya menerusi kenyataan media, di sini hari ini.
Natanael yang mengisi kuota pemain import dari Asean merupakan antara empat pemain import yang memperkuat Kelantan FC musim ini, tiga lagi pemain adalah Nixon Guylherme (Brazil), Kervens Belfort (Haiti) dan Fadel Antar (Lubnan).
Norizam berkata Natanael yang boleh bermain di bahagian sayap dan serangan masih mempunyai kontrak bersama Kelantan FC sehingga penghujung musim 2024.
"Pihak pengurusan kelab Dewa United FC juga telah bersetuju untuk membuat bayaran pampasan 'transfer loan fee’ yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial