EKONOMI

Perniagaan perlu tubuh unit kelestarian untuk pacu agenda hijau -- Alizakri

23/06/2022 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Syarikat perlu mempertimbangkan untuk penubuhan jabatan kelestarian bagi membantu mereka lebih memahami elemen dalam Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Bhd Tunku Alizakri Alias berkata melahirkan pemimpin dan bakat yang didorong adalah penting ke arah mewujudkan matlamat kepada organisasi dalam mengenal pasti metrik kelestarian.

''Generasi muda didorong oleh penyelesaian dan dengan memberi mereka tujuan, yang menghubungkan keuntungan yang tidak membahayakan bumi dan orang ramai, kita akan melihat impak semasa di era anak-anak kita,'' katanya pada Persidangan Maya SRI 2022 bertajuk "Memelihara Iklim melalui Perniagaan dan Kehidupan Lestari" hari ini. 

Beliau berkata petunjuk prestasi utama (KPI) yang bermakna juga penting dalam memacu nilai serta kepentingan terbaik syarikat.

"Apabila anda menetapkan KPI kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) anda, pecahkannya kepada dua iaitu pendapatan adalah perkara pertama. Tunjukkan kepada saya pendapatan yang datang daripada amalan lestari dan perniagaan baharu. 

''Jadi, ianya akan memaksa CEO dan pasukan anda untuk mula memikirkan bagaimana menjana pendapatan daripada ini.

"(Kemudian) daripada perspektif kos, bagaimana kita boleh mengurangkan kos dengan menggunakan atau mengitar semula yang akan  meletakkan nilai ringgit kepadanya, yang secara langsung berkaitan dengan kelestarian,'' kata Tunku Alizakri lagi.

Syarikat-syarikat ini  juga perlu ingat bahawa kerajaan telah menetapkan sasaran ke arah menjadi negara sifar karbon seawal 2050 dan mereka harus mencari penyelesaian. 

“Bagi  mencapai sasaran ini, kemungkinan besar kerajaan akan mengenakan cukai karbon, jadi anda lebih baik tahu berapa banyak pelepasan karbon atau gas rumah hijau yang anda keluarkan kerana setelah peraturan dilaksanakan, anda akan mempunyai semua perkara yang anda perlukan untuk mengeluarkan atau menyediakan perkhidmatan dalam perniagaan yang anda masuki,'' tambahnya.

Beliau berkata aspek pelaporan juga perlu diberi penekanan dalam memastikan syarikat mempunyai hala tuju yang bersedia selain memupuk keyakinan terhadap komitmen ESG mereka. 

Menurutnya, ESG boleh dijadikan senjata oleh ekonomi yang lebih besar dan ini agak berbahaya yang mana ia digunakan untuk menyekat atau mengurangkan impak pengeluaran negara lain ''terutamanya yang menggunakan banyak buruh asing."

Tunku Alizakri, yang merupakan salah seorang daripada lembaga pengarah Sime Darby Plantation Bhd, merujuk kepada tindakan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat ke atas industri sarung tangan dan perladangan tempatan. 

''Sebagai contoh, Sime Darby Plantation adalah salah satu syarikat yang mempunyai tahap tadbir urus sosial tertinggi dalam penjagaan kebajikan buruh asing tetapi ini tidak mendapat perhatian daripada pihak berkuasa asing. 

''Jadi, kepada mereka yang belum menjadi sasaran, saya menyarankan anda untuk bermula sekarang, jadi anda akan dapat membentangkannya kepada pengawal selia antarabangsa dengan lebih pantas, dan bukannya terjebak dalam masalah selama berbulan-bulan.

"Pada 30 Dis 2020, CBP AS mengeluarkan perintah pelepasan penangguhan terhadap produk minyak sawit Sime Darby Plantation atas dakwaan buruh paksa dalam pengeluaran minyak sawitnya.

-- BERNAMA   

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan