MADRID, 30 Jun (Bernama) -- NATO pada Rabu memutuskan untuk mengalu-alukan keanggotaan Sweden dan Finland menyertai pakatan Atlantik Utara itu, lapor Agensi Berita Jordan (Petra)
Ketika sidang kemuncak di Madrid, Sepanyol, Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg berkata pemimpin perikatan itu telah membuat keputusan "bersejarah" mengalu-alukan Finland dan Sweden menyertai NATO selepas kedua-dua negara menandatangani memo dengan Turki pada Selasa bagi menangani kebimbangan Ankara.
Stoltenberg memberitahu media bahawa para pemimpin meluluskan konsep strategik baharu, dan negara-negara anggota akan bersama memerangi keganasan, serta ancaman siber dan hibrid.
Beliau menambah pakatan itu sedang dalam proses melancarkan "Dana Inovasi NATO," di mana €1 bilion akan dilaburkan untuk permulaan membangunkan teknologi baharu, seperti kecerdasan buatan (AI).
Para pemimpin perikatan juga bersetuju untuk memperkukuh pertahanan, dan pasukan tempurnya di bahagian timur serta menempatkan sekitar 300,000 anggota.
Stoltenberg berkata, pakatan itu akan terus menyokong Ukraine, sambil memaklumkan pakej bantuan komprehensif untuk negara itu telah diluluskan, termasuk komunikasi selamat, bahan api, bekalan perubatan, perisai pelindung, peralatan untuk menentang ancaman periuk api, ancaman kimia dan biologi dan ratusan sistem anti-drone mudah alih.
Beliau berkata pakej bantuan komprehensif untuk Ukraine, bertujuan mengukuhkan lagi institusi pertahanan dan keselamatannya, menunjukkan komitmen Perikatan terhadap masa depan negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial