BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 SUKAN

Terbuka Malaysia : Aksi cemerlang Anna Cheong-Mei Xing berakhir

02/07/2022 01:58 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perjalanan cemerlang beregu wanita Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing di Terbuka Malaysia 2022 hari ini terhenti pada peringkat suku akhir, selepas tewas kepada pasangan dari Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

Bagaimanapun pasangan yang berkedudukan ke-44 dunia itu memberikan tentangan hebat kepada pasangan nombor enam dunia itu, sebelum tewas 21-15, 23-21 dalam masa 44 minit di Arena Axiata.

Walaupun mendahului pada awal kedua-dua set, Anna Cheong, 24, dan Mei Xing, 25, gagal mengekalkan kedudukan itu disebabkan kekurangan pengalam berbanding pasangan Jepun yang merupakan juara dunia dua kali.

Kekalahan pasangan itu yang merupakan wakil terakhir beregu wanita Malaysia pada kejohanan Jelajah Dunia Super 750 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu bermakna penantian menyaksikan wakil negara menjuarai kejohanan tempatan itu terpaksa menunggu setahun lagi, selepas buat kali terakhir dimenangi pasangan Teoh Siew Yong-Rosalind Singha Ang pada tahun 1964.

Bagaimanapun Anna Cheong-Mei Xing yakin kejayaan mereka dalam kejohanan itu selepas mengejutkan pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan Lee So Hee-Shin Seung Chan pada pusingan kedua, akan membolehkan mereka meneruskan momentum itu dan menduduki tempat ke-30 terbaik dunia pada akhir tahun ini.

“Prestasi kami meningkat, kurang melakukan kesilapan mudah dan boleh meneruskan rali panjang, tetapi masih tidak cukup. Kita harus meningkatkan mental dan fokus untuk kekal lama, kawal perlawanan dan cari cara untuk melawan semula,” kata Anna Cheong selepas perlawanan.

Sementara itu Mei Xing mengakui keyakinan mereka telah meningkat selepas bermain dengan baik pada Terbuka Malaysia kali ini.

“Sebelum ini kami tidak mempunyai keyakinan tinggi, kami selalu fikir yang kami tidak cukup bagus, dan tidak dapat menang pada pemain terbaik. Tetapi dalam kejohanan ini, kami dapat lihat kami mempunyai keupayaan untuk memberikan cabatan kepada mereka, jadi ini membuatkan kami untuk tidak putus asa dan memperbaiki dengan lebih baik lagi,” katanya.

Pencapaian terbaik pasangan itu sebelum ini ialah memenangi gelaran Antarabangsa Syed Modi, satu Jelajah Super 300 BWF di Locknow, India pada Januari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan